Foto hiasan
Foto hiasan
Oleh Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Perubahan sikap dan kerap memegang telefon bimbit membongkar rahsia seorang pensyarah kerugian lebih setengah juta ringgit selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bukit Aman baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, wanita berumur 38 tahun itu dilaporkan menerima panggilan daripada suspek yang mengaku pekerja syarikat penghantaran barang pada 3 Ogos lalu kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, suspek mendakwa mangsa mempunyai dua bungkusan di pejabat syarikat terbabit yang mengandungi lima kad pengenalan, lima pasport dan lima kad bank milik orang lain.

"Panggilan telefon terbabit kemudian kononnya disambung kepada IPK Perak dan Bukit Aman bagi tujuan semakan dan laporan polis.

"Suspek yang menyamar sebagai polis pula memaklumkan mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.

"Suspek juga mendakwa waran tangkap juga dikeluarkan terhadap mangsa dan diarahkan membuat pindahan wang bagi tujuan semakan pembabitannya dalam kes itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Hasni berkata, hasil siasatan terhadap mangsa dihubungi suspek sejak 3 Ogos sehingga kelmarin dan melakukan 25 transaksi pindahan wang ke atas 16 pemilik akaun bank yang berlainan.

"Mangsa mula menyedari dirinya ditipu atau terpedaya selepas ditegur oleh suaminya disebabkan berubah sikap dan kerap memegang telefon bimbit.

"Mangsa juga ingin meminjam wang daripada suaminya untuk membuat bayaran kepada suspek dan sehingga kini mangsa kerugian sebanyak RM537,659.89," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 4:31 PM