FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


SEORANG lelaki yang menghantar limau kepada rakannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina berakhir tragedi apabila disamun tiga lelaki di Kampung Sungai Chinchin di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa mengalami kerugian lebih RM3,000 selepas wang tunai dan telefon bimbit miliknya dilarikan suspek.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada mangsa yang mendakwa didatangi tiga lelaki tidak dikenali menaiki dua motosikal.

“Ketika kejadian, mangsa sedang berjalan menuju ke arah keretanya selepas menghantar limau kepada rakan. Salah seorang suspek masuk ke dalam kereta mangsa dan mengambil telefon bimbit.

“Dua lagi suspek mengacu kerambit ke arah mangsa dan mengambil wang tunai RM3,000 daripada beg silangnya. Suspek kemudian menolak mangsa ke dalam kereta dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Arifai berkata, bertindak atas laporan itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan dua lelaki di Jalan Gombak Setia, di sini, pada jam 2 petang kelmarin.

Menurutnya, soal siasat terhadap kedua-dua suspek itu mengaku menyamun mangsa bersama seorang lagi rakan yang masih bebas.

“Polis merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC yang disyaki digunakan suspek ketika melakukan samun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:10 AM