BARANGAN yang dirampas daripada geng samun yang dipercayai aktif sejak dua minggu lalu. FOTO IHSAN IPD KLANG SELATAN
BARANGAN yang dirampas daripada geng samun yang dipercayai aktif sejak dua minggu lalu. FOTO IHSAN IPD KLANG SELATAN
Norzamira Che Noh


Klang: Kegiatan satu kumpulan jenayah yang dipercayai baru bergiat aktif sejak dua minggu lalu berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat lelaki di daerah ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Taman Sentosa pada jam 5.30 petang manakala tiga lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Meru setengah jam kemudian.

"Hasil soal siasat mendapati tiga suspek mengaku terbabit dalam kes samun warga Nepal di Bayu Perdana, Klang pada hari yang sama sebelum diberkas. Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian wang tunai RM270, kad bank dan dua telefon bimbit.

"Semakan turut mendapati tiga daripada suspek memiliki rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas kereta jenis Perodua Axia, sepasang pakaian celoreng Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), sehelai baju tentera dan empat telefon bimbit.

Katanya, siasatan juga mendapati pakaian Rela itu dicuri oleh salah seorang suspek daripada bapa saudaranya.

Shamsul Amar berkata, pihaknya percaya kumpulan berkenaan aktif melakukan jenayah samun sejak dua minggu lalu.

"Modus operandi suspek adalah menyewa kenderaan dan menyasarkan warga asing yang berjalan di kawasan sunyi untuk melakukan samun.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun kini direman enam hari hingga Rabu depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:10 PM