GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis negeri ini menahan empat suspek yang juga dalang sindiket pengumpulan kad juruwang automatik (ATM) untuk didaftarkan ke akaun 'Bigpay' dan 'Yippiepay.com' pada Ops Helang Tipu Kad Kredit, 2 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah Superintendan Elias Omar berkata, tangkapan itu susulan laporan dibuat seorang pegawai Jabatan Penjara Malaysia pada 28 Januari lalu selepas mangsa diperdaya sindiket terbabit.

Elias berkata, mangsa mendakwa, dia kerugian RM38,000 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Mangsa ditipu kononnya mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM38,000 atas namanya.

"Suspek meminta maklumat akaun mangsa menerusi aplikasi MYBNM dan mangsa terus menyerahkan empat digit nombor yang tertulis di kad ATM miliknya," katanya pada kenyataan hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudiannya membuat semakan dan mendapati wang dalam akaun banknya berjumlah RM38,000 lesap.

"Susulan laporan itu, kami menahan dua lelaki dan dua wanita yang juga dalang sindiket pengumpulan kad ATM untuk didaftarkan ke akaun Bigpay dan Yippiepay.com itu.

"Kami turut merampas lima beg, sekeping kad pengenalan, lima kad ATM serta tiga telefon bimbit," katanya.

Hasil soal-siasat, beliau berkata, sindiket meminta mangsa memasukkan wang ke akaun bank yang diberikan.

Elias berkata, selepas itu, akaun Bigpay dan Yippiepay.com akan digunakan untuk memindahkan wang itu ke akaun bank pihak ketiga.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan taktik jenayah komersil terkini di https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/, https://www.facebook.com/JSJKPDRM/ dan https://m.facebook.com/jsjkked/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:36 PM