AFFENDI memberi penerangan kepada peserta.
AFFENDI memberi penerangan kepada peserta.
MENGATUR strategi menyerang serta melindungi pasukan.
MENGATUR strategi menyerang serta melindungi pasukan.
Nurul Husna Mahmud


Latar lapangan Paintball Valley Malaysia di Bukit Lagong, Selayang, Selangor menggunakan kayu serta tayar sebagai tembok melindungi diri terasa seperti berada di medan perang sebenar.

Tambah pula peserta perlu mengenakan pelindung muka bersama sut perisai melindungi ‘hentaman’ palet, mengundang lagi debaran buat mereka yang kali pertama mencuba sukan Paintball Senario (Scenario Paintball).

Dibantu dengan suasana dikelilingi belukar kecil secara semula jadi menyuntik semangat ‘survival’ buat mereka menyertai program ‘Keep Calm and Play Paintball’ anjuran komuniti peminat sukan rekreasi, Kaki Rayau Official (KRO) baru-baru ini.

Platform cari kenalan

Menurut wakil penganjur Mohd Nassar Sanusi, seperti program lain, paintball dilihat relevan dengan objektif dia bersama empat rakannya menubuhkan KRO. Program sehari itu berjaya menarik 32 peserta berada di lokasi terbabit seawal jam 8.30 pagi.

“Kami memilih untuk menganjurkan paintball kerana sukan ini masih mendapat permintaan tinggi selain memerlukan penyertaan ramai menjadikan ia lebih mengujakan.

“Apabila ramai orang menyertainya secara tidak langsung peserta dapat menambah kenalan baru. Ini turut membantu mengurangkan kos permainan.

“Dalam hal lain, KRO ingin memberi pendedahan kepada mereka yang tidak pernah bermain serta menaikkan semula sukan ekstrem ini kembali popular di Malaysia,” katanya.

Standard operasi profesional

Bermula dengan sesi taklimat Pengurus Operasi Paintball Valley Selayang, Affendi Mohd Zain mengenai teknik serta etika betul dalam gelanggang, peserta dibahagi kepada empat pasukan dengan dua pasukan mengambil giliran untuk berada dalam gelanggang permainan.

Kata Affendi, dia bersama pengasas pusat rekreasi berkenaan, Roslin Abu mempunyai pengalaman berpuluh tahun dalam sukan terbabit, arif mengenai keperluan pemain.

“Kami menawarkan fasiliti kepada peminat paintball senario. Mereka mahukan pengalaman seolah-olah berada dalam kawasan hutan atau bertema.

“Kami mempunyai dua gelanggang yang ber ‘prop’ membantu pemain berasa seperti dalam ‘medan peperangan’ dan kelebihan lain kami mempunyai hutan sekelilingnya. Sudah tentu mereka yang mahu permainan ini diadakan dalam skala besar boleh memilih lokasi ini.

“Kami pernah memenuhi permintaan daripada satu syarikat mahu menganjurkan pertandingan untuk stafnya. Ketika itu anggaran pemain lebih 300 mengambil bahagian.

“Setiap gelanggang dilengkapkan tembok berjaring agar tidak mengenai pengunjung lain. Ia sesuatu pada kami selaku operator aktiviti ini mengutamakan aspek keselamatan,” katanya.

Wang dilabur berbaloi

Bagi pengasas bersama KRO Muhammad Haidi Othman, 26, meskipun peserta dimaklumkan perlu membelanjakan RM120 untuk menyertai aktiviti terbabit, mereka tidak mengeluh sebaliknya teruja.

“Bagi pandangan peribadi, keseronokan serta kemudahan disediakan pusat paintball itu berbaloi dengan jumlah wang dibayar.

“Setiap pemain menerima 500 palet, marker, alas muka, vest, sarapan pagi dan tengah hari selain marsyal membantu pemain berada di lokasi.

“Malah kami boleh bermain seawal jam 9 pagi hingga 3 ke 4 petang bersama dua lapangan. Saya rasa itu sesuatu jumlah berbaloi untuk bermain,” katanya. “KRO tidak mengambil sebarang keuntungan sebaliknya hanya bermotifkan perkongsian hobi setiap kali menganjurkan program sedemikian”.

Ketagih sakit kena tembak

Buat peminat sukan lasak Mohd Syafiq Idris, perasaan ‘survival’ ketika dalam medan perang seperti menyusup daripada musuh dan bijak mengelirukan lawan membuatkan permainan ini sukar dilupakan.

“Menariknya untuk konsep paintball seperti ini ialah lapangan dalam hutan seakan bertempur dengan musuh sebenar.

“Tidak dinafikan saya perlu menghadap kesakitan apabila ditembak hingga meninggalkan kesan lebam, tetapi bagi penggemar sukan rekreasi ini, perasaan inilah yang kami cari.

“Tambah menarik lagi kami tidak mengenali antara satu sama lain, sebagai pasukan kami selesakan diri dan buktinya setiap pertempuran kami menang,” katanya.

Perlu bijak

Seorang peserta wanita Anis Nadia Adnan, 26, berkata tiada istilah takut meskipun berdepan dengan lawan lelaki serta jauh lebih berpengalaman.

“Sudah adat permainan, bila kena ‘palet’ saya jadi pasrah. Itu membuatkan kita lebih mencabar diri dan tidak serik.

“Pendek kata, saya tidak berasa takut sebaliknya sedikit gementar kerana tidak arif mengenai sikap lawan dalam gelanggang.

“Pendekatan saya bawa ialah perlu bertenang untuk kendali lawan. Permainan ini lebih kepada strategi iaitu bijak untuk menangani lawan. Permainan ini menarik dan seharusnya dicuba oleh wanita dalam melatih diri yakin dan berani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:03 AM