ARCA Bird of Paradise menggunakan kayu palet muncul juara.
ARCA Bird of Paradise menggunakan kayu palet muncul juara.
Teks dan foto Mohd Amin Jalil


Konsep produk ‘waste to wealth’ adalah manifestasi daripada perubahan gaya hidup masyarakat hari ini yang mementingkan keseimbangan antara alam sekitar dan kitar semula.

Bahan terbuang seperti botol plastik, kayu palet, rantai basikal dan besi buruk sangat bernilai andai ia dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Justeru, tidak hairan ramai yang menjadikan bahan terbuang untuk membina dekorasi taman kerana ia mampu diterjemahkan dengan daya kreativiti tersendiri.

Nilai estetika bahan terbuang atau terpakai ini begitu terserlah dalam Pertandingan Arca Taman yang diadakan sempena Festival Taman Tasik Seremban 2015 di Taman Orkid Seremban, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Majlis Perbandaran Seremban (MPS) disertai 20 kumpulan yang berjaya menyerlahkan kreativiti masing-masing.

Peserta yang mewakili pelbagai agensi dari dalam dan luar Negeri Sembilan tampil dengan reka bentuk arca menarik menerusi gabungan penggunaan bahan terbuang.

Antara bahan terbuang itu termasuk botol plastik, kayu palet, rantai basikal, besi paip, dawai besi, tin minuman, kayu dan batu.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sekolah menengah (SM).

Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mendominasi kategori PBT apabila MPM C yang menampilkan kreativiti menerusi kayu palet muncul juara.

Rekaan arca bertemakan sejenis tumbuhan berbu­nga yang eksotik diberi nama ‘Bird of Paradise’ menggunakan bahan daripada kayu palet terpakai dengan mengetengahkan reka bentuk ‘geometrikal.’

Arca rekaan MPM itu menekankan keunikan daripada hasil gabungan reka bentuk, struktur, susunan dan corak asli yang terdapat pada kayu palet terpakai. Pasukan itu merangkul hadiah wang tunai RM2,000.

MPM A yang menduduki tempat kedua dan memenangi hadiah RM1,000 pula menampilkan arca menggunakan besi terpakai antaranya bahagian motosikal, basikal, alat kecil pertanian terpakai dan lebihan besi tulang konkrit.

Bahagian itu dibentuk, disusun dan dikimpal bagi membentuk arca yang bertemakan dedaun.

Bagi kategori IPTA, juara disandang Institut Pendidikan Guru Raja Melewar (C) dengan meraih wang tunai RM1,500.

Tempat kedua dimenangi Politeknik Nilai dengan hadiah wang tunai RM1,000 sementara bagi kategori SM disapu bersih Kolej Tunku Kurshiah (TKC) untuk meraih RM1,500.

Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, MPS adalah PBT pertama di negara ini yang mengadakan pertandingan itu dan dibuat julung kalinya.

Beliau berkata, ia bertujuan menguji kreativiti peserta dalam membina dekorasi menarik seiring hasrat MPS untuk mencantik dan menceriakan kawasan taman awam.

Menurutnya, pihaknya kagum dengan idea dan kreativiti ditampilkan peserta serta boleh memberi panduan kepada orang ramai membina dekorasi di kediaman masing-masing.

“Banyak yang boleh orang ramai pelajari daripada produk yang dihasilkan peserta terutama dari segi kreativiti yang memanfaatkan bahan terbuang dan terpakai.

“Kami merancang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 5:18 AM