SUMBANGAN 2,844 botol mandian badan kepada kanak-kanak di PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
SUMBANGAN 2,844 botol mandian badan kepada kanak-kanak di PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
HM Digital

Guardian Malaysia tampil menyumbang 2,844 botol mandian badan kepada kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ia adalah komitmen syarikat itu untuk membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan menerusi kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) #guardiancares serantaunya iaitu Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak.

Menurut Pengarah Pemasaran guardian Malaysia, Anna Ng, pihaknya bersyukur dapat menyumbang kepada kebersihan dan kesejahteraan kanak-kanak menerusi program berkenaan.

"Pada tahun 2023, kami berjaya menyediakan 20 juta mandian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, dan Kemboja.

"Di Malaysia sahaja, lebih 40,000 botol produk penjagaan mandian disediakan untuk kanak-kanak yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, rentetan kejayaan berkenaan, syarikat terbabit turut menetapkan sasaran untuk menggandakan impak capaiannya pada tahun ini dengan sasaran menyumbang 40 juta mandian kepada golongan yang memerlukan di rantau ini.

Sumbangan kepada kanak-kanak Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah melambangkan usaha yang signifikan ke arah mencapai matlamat berkenaan iaitu menyediakan 800,000 mandian kepada penerimanya.

Apa yang istimewanya mengenai kempen itu, syarikat berkenaan akan mendermakan 15 sen daripada setiap liter produk penjagaan mandian guardian yang dijual di negara ini untuk membeli produk mandian untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

Selain itu, hasil jualan Patung Beruang dan Tuala Beruang Berhud #guardiancares juga akan disalurkan ke dana yang menyokong keperluan penjagaan mandian kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.

Dalam inisiatif berasingan, syarikat itu turut menunjukkan sokongannya kepada tiga organisasi kebajikan yang dipilih oleh pemenang pertandingan Face of Healthy Beauty 2023.

Aqila Afindi, Nur Izzatul Aqma Ludin dan Candace Cheah masing-masing memilih penerima untuk sumbangan produk Penjagaan Mandian guardian bernilai RM5,000.

Aqila menyalurkan sumbangannya kepada penghuni Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain di Bangi, Selangor, manakala Nur Izzatul Aqma pula memilih Pusat Jagaan Nur Sakinah Damansara Damai, Kuala Lumpur.

Candace memilih untuk menyumbangkan hadiah yang dimenanginya kepada Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 6:46 AM