DIBINA menggunakan 300 set kayu palet.
DIBINA menggunakan 300 set kayu palet.
PENGUNJUNG mencuba kemahiran di gelanggang maze.
PENGUNJUNG mencuba kemahiran di gelanggang maze.
SELAIN kayu palet, kayu landasan kereta api lama turut digunakan sebagai kerusi.
SELAIN kayu palet, kayu landasan kereta api lama turut digunakan sebagai kerusi.
GELANGGANG permainan Maze daripada kayu palet.
GELANGGANG permainan Maze daripada kayu palet.
Hartini Mohd Nawi dan Norsharuddin Sapian


Kini kayu palet menjadi rebutan ramai kerana menjadi bahan utama pembuatan pelbagai barangan termasuk perabot dan perhiasan dekorasi.

Golongan yang kreatif melihat kayu palet sebagai elemen pelengkap untuk menghasilkan dekoratif menarik.

Pihak pengurusan taman rekreasi Spritzer Ecopark di Air Kuning, Pokok Assam, Taiping, turut tidak ketinggalan menggunakan bahan terbuang itu sebagai elemen landskapnya.

Eksekutif SE Zahera Hayat Mohd Alias berkata, selain menyediakan kemudahan riadah dan santai kepada orang ramai, idea mewujudkan taman rekreasi berkenaan juga bertujuan membantu pihak syarikat mengitar semula bahan buangan berasaskan kayu palet.

Menurutnya, sebelum ini kayu palet dari kilang pemprosesan air galian Spritzer Berhad yang terletak berhadapan SE dibuang begitu saja.

“Ini menyebabkan kami mencari idea untuk menggunakan semula bahan terbuang berkenaan dengan lebih bermanfaat.

“Hasil kreativiti 10 pekerja, pengolahan kayu palet berkenaan kini berjaya menghidupkan suasana persekitaran menarik di SE,” katanya.

Beliau berkata, selepas merujuk beberapa laman sesawang di Internet, buku, majalah, pelbagai hiasan dekorasi akhirnya pelbagai idea berjaya dizahirkan termasuk gelanggang permainan maze.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, maze bermaksud jalan berliku-liku dan berselirat.

“Berbeza di SE, kami menyediakan gelanggang permainan maze dengan pemain perlu menyusuri sendiri lorong yang dibentuk daripada binaan kayu palet.

“Bagi tujuan itu, sebanyak 300 set kayu palet digunakan untuk menyediakan sebuah gelanggang permainan maze tanpa dikenakan bayaran kepada pengunjung.

“Semua ini dibina bagi mempelbagaikan aktiviti kepada pengunjung selain permainan golf mini dan aktiviti kraftangan,” katanya.

Selain gelanggang maze, SE turut menggunakan kayu palet untuk membina beberapa set meja dan kerusi bagi kemudahan pengunjung serta menjadi hiasan landskap.

Keunikan perabot kayu palet yang membezakannya dengan perabot lain adalah ira atau bunga kayunya sangat unik dan menarik tanpa perlu dicat.

“Memang menarik struktur kayunya selepas dilicinkan. Ira kayunya yang sangat unik menambahkan lagi eksklusif di setiap perabot kayu palet ini.

“Ia tidak perlu dicat, hanya kekal dengan warna asli,” katanya.

INFO:

Kayu palet pelengkap landskap taman

Latar landskap yang tampil dengan penataan pilihan daripada tradisional, minimalis hingga tropika lebih memberikan persekitaran segar dengan adanya elemen hiasan kayu palet.

Menurut Pengarah Urusan Melati Evergreen Enterprise Mohd Khaizam Kamisan, aliran menggunakan kayu palet sebagai perabot taman atau aksesori hiasan kini makin popular.

Ini kerana ia terkenal sebagai bahan yang mudah didapati, lebih murah dan tahan lasak.

“Reka letak di ruang taman lebih menampakkan suasana semula jadi dan selari.

“Apatah lagi kayu palet diketengahkan dalam warna semula jadi.

“Bagaimanapun, ramai juga yang menggemari kayu palet warna-warni kerana cita rasa berbeza,” katanya.

Dalam mencipta elemen segar di taman bukan hanya bergantung pada perabot kayu palet, malah turut menarik jika kotak pelbagai guna material itu diisi dengan tanaman bunga atau berdaun hijau.

“Mungkin juga binaan pagar kayu palet terkenal dengan ketahanannya,” kata Mohd Khaizam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 6:43 AM