PESERTA bersedia membuat lontaran.
PESERTA bersedia membuat lontaran.
SUKAN dodgeball kini turut mendapat tempat di hati remaja perempuan.
SUKAN dodgeball kini turut mendapat tempat di hati remaja perempuan.
Oleh Rosyahaida Abdullah


Bersemangat sekali setiap peserta membaling bola di tangan dengan menyasar supaya semua enam hingga 10 ahli pasukan lawan ‘dilenyapkan’ bagi membolehkan mereka muncul juara keseluruhan.

Lontaran demi lontaran nampak ganas, namun bola yang digunakan itu bukan sekeras bola sepak, bola tampar atau lain-lain bola yang menyakitkan jika meluncur laju dan tepat ke badan.

Ia sekadar bola jenis ‘foamball’ yang ringan dan dicipta bersesuaian dengan konsep permainan dalaman, apalagi pemainnya juga bukan ahli tinju atau ragbi yang memiliki ketahanan fizikal bagi ‘serangan’ seumpama itu.

Rata-rata mereka adalah remaja dan pelajar kolej belasan tahun, yang memiliki stamina bersesuaian untuk bersaing secara berpasukan dengan baik dan penuh bertenaga.

Demikian aksi dipamerkan peserta Midnight Madness Dodgeball yang berlangsung penuh gamat di kompleks beli-belah 1Shamelin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengakhiri tiga pusingan kelayakan yang diadakan sejak dua bulan lalu, ia menyaksikan perlawanan akhir dodgeball itu berlangsung sehingga jam 3 pagi.

Perlawanan ditemani sorakan penonton yang sanggup bersengkang mata memberikan sokongan buat pasukan pilihan menjadikan suasana tengah malam di tingkat lima kompleks beli-belah berkenaan bertambah meriah.

Dalam kejohanan itu, kira-kira 40 pasukan berentap sejak peringkat awal untuk merebut hadiah utama berupa wang tunai RM1,600 berserta pingat.

Namun, hadiah yang ditawarkan juga bukan semata-mata sasaran peserta sebaliknya apa yang lebih penting adalah menajamkan teknik untuk membolehkan mereka bersaing selesa di peringkat antarabangsa.

Biarpun gelanggang digunakan penganjur sekadar ubah suai sementara khusus untuk acara itu, ia tidak menjejaskan mood peserta sebaliknya masing-masing fokus mencari kemenangan.

Realitinya, fasiliti sukan dodgeball di Malaysia masih belum meluas, yang mana difahamkan tiada gelanggang khas dodgeball tersedia di negara ini sama ada bagi tujuan latihan oleh atlet rasmi mahupun riadah.

Majoritinya sekadar menggunakan gelanggang badminton, futsal, tenis dan seumpamanya yang diubah suai buat sementara waktu untuk sukan itu sebelum dikembalikan ke keadaan asal selepas selesai bermain.

Ini secara tidak langsung membuktikan kesungguhan peserta untuk bermain bukan atas dasar kelengkapan sempurna tetapi disebabkan minat mendalam disertai semangat kesukanan tinggi.

Tanpa disangka, perlawanan akhir itu turut menampilkan aksi peserta yang mewakili Malaysia ke kejohanan dunia sejak beberapa tahun lalu.

Justeru biarpun dianggap masih baru di Malaysia, pencapaian sukan dodgeball di negara kita boleh dibanggakan dengan kemaraan pasukan kebangsaan ke kejohanan peringkat antarabangsa.

Lebih menakjubkan, kontinjen negara turut membawa pulang gelaran naib juara dan tempat ketiga masing-masing bagi pasukan lelaki dan wanita pada Kejohanan Dodgeball Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat, beberapa minggu lalu.

Peserta, Ng Chee Keong, 25, mengakui bukan mudah untuk kekal dalam sukan yang masih memerlukan banyak pembangunan dari segi fasiliti dan penghasilan atlet. Bagi Ng, kemena­ngan itu adalah hadiah atas latihan tanpa jemu mereka sepanjang beberapa bulan lalu.

Alah bisa tegal biasa, jurutera aplikasi ini me­ngakui melalui keadaan latihan yang me­nyukarkan disebabkan tiada gelang­gang khas dodgeball kadang­kala membuatkannya berputus asa. Namun, kejayaan itu menjadikan pengorbanan mereka berlatih tanpa jemu berbaloi.

“Saya gunakan wang sendiri untuk beli tiket kapal terbang serta kegunaan di sana (Las Vegas), namun itu bukan bermakna sukan ini perlukan belanja mahal sebaliknya hanya sebiji ‘foamball’ dengan ruang tertutup mengikut spesifikasi permainan.

“Bagi saya itu adalah pengorbanan yang lambat laun akan mendapat hasilnya. Siapa tahu kemenangan ini akan memberi manfaat buat generasi seterusnya.

“Saya difahamkan 1Shamelin sedang dalam proses membina gelanggang dodgeball yang menepati piawaian persatuan (dodgeball) tidak lama lagi dan ini sangat melegakan pemain aktif seperti kami kerana tidak perlu lagi menyewa gelanggang ‘buatan sendiri’,” katanya.

Mengharapkan sokongan padu lebih banyak pihak baik kerajaan mahupun swasta, Ng yakin sukan berkenaan mampu dikembangkan setanding negara lain.

Bagi Moon Lum, 25, apa yang penting dalam permainan dodgeball adalah memiliki kecekapan mengelak dengan ketajaman penglihatan bagi memastikan setiap bola yang dilontar pihak lawan menyentuh benda lain terlebih dulu sebelum anggota badan pemain, atau terus rebah di lantai.

Mula bermain dodgeball pada 2010, juruaudit dalaman ini akui teknik sukan itu cepat dikuasainya dan hasil kekerapan latihan bersama rakan, Moon Lum mudah mendapatkan gaya permainan yang tepat.

“Setiap ahli memikul peranan untuk memastikan pasukan mampu bertahan sehingga ke saat penamat walaupun hanya tinggal seorang.

“Pada saya, biarpun memenatkan, permainan ini mengajar kami untuk tidak berputus asa dan berjuang habis-habisan demi pasukan dan sekata dalam membuat keputusan,” katanya yang berhasil memperoleh tempat ketiga bagi pasukannya pada perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, Pe­ngurus Kanan Komunikasi Pemasaran, Pengiklanan dan Promosi 1Shamelin, Gail Ong berkata, cada­ngan mewujudkan gelanggang itu adalah susulan melihat sambutan me­nggalakkan daripada orang ramai.

Katanya, ia juga sebahagian acara yang diadakan dengan tujuan mempromosi bazar malam di pekarangan kompleks beli-belah berkenaan setiap hari mulai jam 8 malam hingga 4 pagi.

“Agak mengejutkan apabila pada jam ini (12 tengah malam) orang ramai memenuhi keliling gelanggang untuk menyaksikan dodgeball malah kita juga mendapat penyertaan pasukan dari Singapura.

“Mungkin ini game baru untuk mereka atau memang sudah lama mereka nantikan sukan sebegini dengan penganjuran yang lebih teratur di Kuala Lumpur sejak ia tercetus di negara lain belasan tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:01 AM