BERGELUT untuk merebut piring frisbee.
BERGELUT untuk merebut piring frisbee.
Oleh Nurul Husna Mahmud

Cuaca panas terik ekstrem hingga kulit terasa pijar selain tapak kaki melecur cumalah pahit maung bagi peserta pertandingan Beach Ultimate Frisbee Men’s Open 2015, anjuran Majlis Daerah Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.

Bahkan, sebagai pelindungan walaupun kurang selesa, ada peserta mengenakan stoking tatkala berentap di gelanggang pasir di Pantai Morib, Banting.

Biarpun bahang pertandingan kian memuncak tatkala jam menunjukkan tepat 2 petang, bagi 10 kumpulan me–nyertai kejohanan terbabit, ia ibarat ‘alah bisa tegal biasa’ dan mereka tetap bersemangat dalam setiap perlawanan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohd Azhar Mohd Ali, menjelaskan perlawanan Frisbee itu julung kali diadakan dan diusulkan menjadi tarikan sebagai sukan riadah di pantai berkenaan.

“Kami selaku penganjur melihat impak sukan ini sangat baik dalam kalangan muda-mudi yang menyertainya. Sukan ini mudah dikendali dan sesuai dimain pelbagai golongan.

“Oleh itu, ini antara inisiatif majlis dalam membantu memperkembangkan sukan terbabit selain mengajak penduduk komuniti sekitar mengenali sukan baru, sekali gus mempromosi gaya hidup lebih sihat,” katanya.

Bagi kapten pasukan Ultimate Killabe, Muhammad Fawwaz Mohd Phuat, 20, kejohanan itu antara paling mencabar kerana julung kali diadakan di gelanggang berpasir.

Katanya, meskipun teruja, dia perlu fokus terhadap setiap perlawanan kerana gelanggang berpasir berbeza berbanding padang rumput.

“Gelanggang kami berpasir dan ini menyukarkan pergerakan pemain dan memerlukan setiap daripada kami bergerak pantas untuk menguasai permainan.

“Pada sudut lain, ini pengalaman baru buat saya dan ahli pasukan. Kami bermain dalam situasi baru dan kami belajar menyesuaikan diri dengan perubahan menerusi kejohanan ini,” katanya.

Menyentuh prestasi pasukannya, Fawwaz berkata, dia puas hati meskipun sebahagian besar pemain yang menyertai kejohanan kali ini masih baru.

“Permulaan permainan adalah berliku buat saya kerana sebahagian pemain dalam pasukan masih baru. Tewas tipis ketika pusingan pertama kemudian bangkit tiga perlawanan seterusnya adalah pencapaian baik.

“Itulah sebenarnya diperlukan buat setiap pemain frisbee kerana skil bukan bonus di sini, sebaliknya kerjasama pasukan lebih penting. Sikap optimis ditunjukkan ahli pasukan membuatkan kami mampu bertahan sehingga ke hujung perlawanan,” katanya yang mewakili Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis.

Bagi pendatang baru iaitu pasukan PBS (Politeknik Banting, Selangor) Bulls, kaptennya, Shafuan Shariman menyifatkan sukan ini memiliki daya tarikan tersendiri.

“Kami baru mengenali sukan ini dan tertarik kerana ia mempunyai kombinasi permainan ragbi serta bola jaring dalam senarai peraturannya. Kami perlu menangkap piring layang selain menghalang dalam tempoh lima minit permainan.

“Kejohanan ini istimewa apabila kali pertama dipertandingkan di gelanggang pasir berbanding permukaan berumput. Ini sesuatu yang baru buat pasukan ini dan kami berseronok sepanjang perlawanan,” katanya.

Mengenai cabaran dihadapi selaku pemain baru, Shafuan berkata, sebagai ‘orang baru’ dalam kejohanan ini, ketahanan mental sangat penting.

“Kami tahu pengalaman yang sedikit berbanding pasukan lain boleh membuatkan kami hilang arah jika tidak mengatasi perasaan gelabah ketika dalam gelanggang. Kami ambil pendekatan bersantai serta mahu menikmati pengalaman permainan,” katanya.

PROFIL:

Nama: Muhammad Fawwaz Mohd Phuat

Umur: 20 tahun

Asal: Sitiawan, Perak

Institusi: UiTM Perlis, Arau

Nama: Shafuan Shariman

Umur: 19 tahun

Asal: Shah Alam, Selangor

Institusi: Politeknik Banting

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:04 AM