TAKLIMAT ringkas di awal permainan.
TAKLIMAT ringkas di awal permainan.
MENENDANG sambil mengusung gelembung getah.
MENENDANG sambil mengusung gelembung getah.
PESERTA wanita juga tidak kalah.
PESERTA wanita juga tidak kalah.
CUBA menjatuhkan pasukan lawan.
CUBA menjatuhkan pasukan lawan.
Nurul Husna Mahmud


Perlu memikul ‘Bubble’ beratnya tidak kurang daripada empat kilogram sambil menjaringkan gol ke gawang lawan antara pengalaman menarik peserta Bubble Bang-a-thon baru-baru ini.

Sebahagian tubuh terlindung sebalik bola getah gergasi membuatkan rupa mereka lucu tidak ubah seperti maskot tertentu.

Ditambah lagak mereka begitu lincah mengasak dan sesekali dengan sengaja melanggar pihak lawan sehingga ada yang melambung di kiri dan kanan gelanggang di Sport Garage Petaling Jaya membuatkan situasi sepatutnya dilihat cemas bertukar menjadi lelucon pada sesiapa menyaksikan permainan ‘Bubble Sport’ itu.

Sudah lama idam mencuba aktiviti itu

Menurut peminat sukan lasak Amir Mohd Syamim Mohd Fauzi, sudah lama dia mengetahui mengenai aktiviti terbabit, tetapi tiada peluang untuk mencuba.

“Saya lihat permainan ini menyeronokkan di YouTube mahupun di televisyen. Lihat pemain begitu teruja ‘melanggar’ lawan tanpa belas kasihan membuatkan saya begitu tertarik.

“Pada saya lihat mereka melambung, tertonggeng serta sebagainya tetapi masih boleh ketawa. Bagi saya ketika itu sekadar menonton sudah menarik apatah lagi apabila dimainkan.

“Jadi sebaik pihak Bubble Sports MY membuka peluang untuk orang awam mencuba sukan ini dengan bayaran berpatutan, saya terus datang bersama rakan.

“Mula saja sudah mencabar kerana permulaan kami perlu menyepak bola dengan mengusung gelembung getah ini menyukarkan penglihatan, kemudian diikuti dengan ‘Tower Defence’ pada pusingan kedua mengambil konsep permainan catur apabila perlu melindungi karakter Raja daripada dijatuhkan pihak lawan.

“Penutup ialah ragbi yang mana kami perlu membuat ‘touch down’ di gol lawan membuatkan sesi permainan berlangsung satu pengalaman cukup berbaloi,” katanya.

Bukan saja baik untuk kesihatan badan malah merangsang mental

Bagi pemain lain, Christopher Raja Singam, permainan ini bukan sekadar memberi keseronokan malah mempunyai nilai murni termasuklah memupuk semangat berpasukan.

“Uniknya permainan ini ia tidak akan menarik jika hanya dimainkan individu. Sebaliknya perlu dimainkan secara berpasukan. Ini tidak langsung memberi gambaran ia menggalakkan semangat kerjasama dalam menjayakan permainan.

“Kalau permainan ini hanya membabitkan fizikal juga tidak tepat kerana seperti permainan bola sepak, pasukan perlu datang dengan strategi. Contohnya ‘Tower Defense’ bagaimana membuat serangan serta melindungi Raja dalam satu masa.

“Jadi semua itu memerlukan sumbangan idea setiap ahli pasukan untuk menguasai permainan menentang lawan,” katanya akan kembali bermain dengan teman jika ada peluang lagi.

Sukan ini baru ditemui menerusi YouTube

Pengasas Bubble Sports MY, Wong Keit Sean berkata sukan ini ditemui menerusi YouTube.

“Asalnya saya mencari idea untuk memulakan perniagaan. Sedang membuat kajian mengenai trend serta peluang peniagaan yang ada, saya menonton satu video mengenai sukan Bubble.

“Permainan ini popular di England mahupun Eropah. Tetapi ketika itu hanya ada satu jenis aktiviti iaitu bola sepak.

“Jadi saya hubungi Bubble Sport berpangkalan di luar negara dan belajar mengenainya dalam talian. Mereka ajar mengenai cara betul termasuk untuk mengendalikan ‘bubble’ berkenaan.

“Kemudian baru saya cuba aktiviti itu bersama kawan dan melakukan tinjauan di laman sosial. Rata-ratanya teruja dan pada 2014 kami mula memperkenalkan kepada orang awam serta agensi korporat,” katanya.

Sesuai disertai kanak-kanak hinggalah dewasa

Sementara itu Pengarah Urusan, Bubble Sports MY Jason Chai Choon Hoong berkata biarpun sukan ini nampak agresif, namun ia selamat.

“Selagi pemain berada dalam ‘Bubble’ mereka tidak akan berdepan kecederaan kerana gelembung gergasi ini sendiri bertindak sebagai pelindung ketika bertembung dengan lawan.

“Tidak rumit, namun pemain perlu mengenakan pakaian sesuai termasuk baju sukan dan kasut selain alas lutut bagi kanak-kanak.

“Tetapi ada golongan tertentu kita saring untuk aktiviti ini antaranya mereka mempunyai sakit serius seperti asma dan jantung dan sakit belakang serius tidak digalakkan menyertai aktiviti ini,” katanya.

Kata Jason ketika ini pihaknya menawarkan tiga konsep permainan iaitu ‘Bubble Futsal’, ‘Tower Defence’ dan ‘Bubble Rugby’.

“Kami biasanya jalankan aktiviti ini kepada mereka yang datang dalam kumpulan. Namun ada masanya kami turut menganjurkan acara terbuka untuk orang perseorangan mencuba aktiviti ini.

“Konsep permainan ini lagi ramai orang lagi murah. Kami bukan saja menganjurkan dalam kawasan tertutup malah turut boleh dijalankan di lokasi terbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:04 AM