KOMPOSER LY dan Baiduri tawar jadi artis rakaman.
KOMPOSER LY dan Baiduri tawar jadi artis rakaman.
Ridzuan Abdul Rahman


Usianya masih muda tetapi Farra atau nama sebenarnya, Siti Farah Najihah Ahmad Damanhuri, 19, berjiwa besar.

Empat tahun lalu, gadis berasal dari Ipoh, Perak ini menyertai pertandingan pencarian remaja berbakat anjuran sebuah majalah hiburan.

Dia berjaya meloloskan diri sebagai 10 peserta terbaik namun gagal meraih gelaran juara.

Farra bagaimanapun bertuah apabila dua juri iaitu komposer LY dan Baiduri tertarik dengan bakatnya dan menawarkan peluang menjadi artis rakaman Kelarai Sakti Sdn Bhd.

“Alhamdulillah impian saya akhirnya tercapai. Awalnya saya seakan-akan bermimpi apabila dilamar menjadi artis rakaman. Mungkin inilah yang dikatakan rezeki.

“Saya mengharapkan sokongan semua pihak dengan memberikan saya peluang mengembangkan sayap dalam bidang ini. Ia buka mudah tetapi saya berjanji akan bekerja keras,” katanya.

Anak ketiga daripada tujuh beradik ini berkebolehan bermain gitar yang dipelajari daripada abangnya pada usia 12 tahun.

“Banyak juga ilmu yang ditimba kerana abang belajar jurusan muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Ketika dibangku sekolah saya aktif menyertai pertandingan syair dan pernah meraih naib juara ketika mewakili sekolah. Keluarga menyokong minat saya,” katanya.

Sambung Farra, jiwa mudanya meronta-ronta ingin menyertai pertandingan nyanyian namun hasrat itu terpaksa dibuang jauh kerana sudah terikat dengan Kelarai Sakti Sdn Bhd.

“Saya bangga menjadi pilihan abang LY dan isterinya, Kak Baiduri. Mereka sudah melahirkan ramai bintang terkenal tanah air.

“Saya diberi peluang menyanyikan lagu balada dan R&B. Terharu rasanya apabila impian saya bakal jadi kenyataan,” katanya.

Farra kini sudah mempunyai lima lagu untuk albumnya termasuk lagu ciptaan sendiri.

“Buat masa ini Kelarai Sakti Sdn Bhd bercadang ketengahkan single terlebih dahulu dan pengurusan masih memilih lagu sesuai.

“Peminat sudah boleh dengar lagu saya menerusi saluran YouTube Farra Ahmad.

“Syukur ramai peminat suka dan memberikan kata-kata semangat kepada saya.

“Saya sedar persaingan sangat sengit tetapi akan cuba tampil dengan kelainan dari segi vokal dan konsep lagu,” katanya.

Farra pernah menyanyi secara langsung di hadapan khalayak menerusi program Teh Tarik KLFM di Menara Kuala Lumpur.

Bahkan, dia juga ditampilkan sebagai penyanyi untuk program kanak-kanak berjudul Chiki Chiki Boom yang disiarkan menerusi TV2.

“Kebetulan saya pun sukakan kanak-kanak. Secara tak langsung saya juga dapat kumpul peminat cilik.

“Fokus saya kini pada nyanyian. Pada masa sama, saya juga berminat mengacara program kanak-kanak sekiranya diberi peluang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:01 AM