IRWAN (lima dari kiri) bersama barisan penyanyi Stylo yang menyampaikan lagu ciptaannya.
IRWAN (lima dari kiri) bersama barisan penyanyi Stylo yang menyampaikan lagu ciptaannya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman.

Selama ini ramai beranggapan hanya individu yang mahir bermain alat muzik saja boleh mencipta lagu.

Hakikatnya penciptaan lagu juga boleh dihasilkan menerusi teknik 'humming' iaitu mengalunkan irama dan lagu dengan bantuan bunyi-bunyian dari bibir.

Penyanyi dan komposer terkenal Melly Goeslaw antara insan seni kreatif yang diberikan kebolehan mencipta lagu menerusi teknik ini dan setiap ciptaannya meledak di pasaran.

Justeru, Stylo Entertainment Sdn Bhd bekerjasama dengan Koperasi Industri Muzik Malaysia Bhd (KOPSTAR) bagi menganjurkan bengkel mencipta lagu menggunakan teknik 'humming'.

Mereka menampilkan bakat komposer muda, Irwan Hisham pelopor teknik ini dalam bengkel yang dianjurkan pada 2 November ini.

Pengarah Urusan Stylo Entertainment Eddie Zarul berkata, bengkel ini bakal melahirkan ramai pencipta lagu yang kreatif terutama dalam kalangan generasi baru atau Gen Y.

"Teknik ini satu cara untuk menghasilkan melodi yang kemudiannya dirakam dan seterusnya dimasukkan lirik. Kami cuba membawa satu pendekatan baru buat golongan muda untuk berkarya.

"Penciptaan lagu menerusi teknik 'humming' adalah satu idea kreatif yang mampu membawa karya mereka ke tahap tertinggi. Kami merancang mengadakan bengkel ini di Kuala Lumpur, namun lokasinya masih difikirkan," katanya.

Dalam pada itu, Irwan, 33, gembira apabila bengkel yang bermula daripada idea kosong akhirnya menjadi kenyataan.

"Perbincangan dengan Stylo dan Kopstar membuahkan hasil positif apabila mereka bersetuju menjadikan program ini satu realiti. Stylo akan berkongsi mengenai teknik 'humming', manakala Kopstar berkongsi mengenai perihal muzik.

"Saya mengaku tak pandai bermain sebarang alat muzik dan hanya mengharapkan bantuan Kopstar dalam aspek ini. Saya rasa amat bangga kerana diberikan kepercayaan ini," katanya yang baru tiga tahun terbabit dalam penciptaan lagu.

Irwan yang kini bernaung dibawah syarikat Kelarai Sakti Sdn Bhd milik komposer LY dan isterinya Norkhayati Mohd Hashim atau Baiduri berjaya mencipta lapan lagu menggunakan teknik ini.

"Lagu pertama ciptaan saya berjudul Ucaplah Alhamdulillah. Saya dapat ilham sekitar jam tiga pagi dan terus ambil telefon bimbit dan kertas untuk rakam dan catat idea yang terhasil.

"Sebenarnya untuk cari ilham, saya juga dengar lagu lain dan gunakan format yang sama seperti digunakan oleh komposer yang boleh bermain alat muzik. Saya pernah hasilkan 13 lagu, tapi hanya pilih yang benar-benar bagus untuk diketengahkan.

"Sekarang orang mula kenal saya selepas populariti lagu Cinta Yang Dalam nyanyian Zuan Ishmael diterima peminat dan berjaya memasuki carta radio Hot FM," katanya.

Irwan berkata, penyertaannya dalam Kelarai Sakti juga berjaya membuka mata beberapa pihak untuk mengambil lagu ciptaannya bagi dinyanyikan.

"Ada portal hiburan ambil lagu Gaza ciptaan saya sebagai lagu kempen memerangi keganasan rejim Zionis di Palestin. Kalau diikutkan teknik 'humming' boleh menghasilkan lagu dalam pelbagai genre seperti pop, jazz dan R &B," katanya yang berjanji akan memberi tunjuk ajar sebaik mungkin kepada peserta bengkel nanti.

Beberapa artis Stylo yang menyanyikan lagu ciptaan Irwan turut mengadakan persembahan pada majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 6:24 AM