FARRA bergelar OKU selepas terbabit kemalangan bas pada 2011.
FARRA bergelar OKU selepas terbabit kemalangan bas pada 2011.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BIARPUN bergelar orang kurang upaya (OKU), ia sama sekali tidak mematahkan semangat penyanyi baru, Farra Umyra untuk mengembangkan potensi dalam industri seni tanah air.

Pemilik nama sebenar Farah Umaira Paruwis, 31, yakin kesungguhan untuk menghasilkan lagu berkualiti bakal meletakkan namanya setanding barisan penyanyi popular tanah air.

Menceritakan nasib dirinya, Farra berkata, dia terbabit kemalangan bas di Batu Berendam, Melaka pada 2011 yang menyaksikan sebuah beg terjatuh dan mengenai bahunya.

“Berikutan kejadian itu, saya mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Doktor memberitahu saya mengalami masalah saraf dan penyakit itu sukar diubati. Bermula daripada itu, saya diklasifikakasikan sebagai OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika sesi fotografi bersama Harian Metro di Studio NSTP di sini, semalam.

Anak jati Gombak, Selangor itu memberitahu dia dibekalkan ubat oleh pihak hospital, jika tidak bahu dan tangannya tidak dapat bergerak akibat kebas.

Bernaung di bawah syarikat Rhythym & Rhyme Entertainment kendalian pasangan penyanyi Akim dan Stacy, penyanyi itu mahu lebih maju dalam hidupnya.

Memiliki single pertama berjudul Hancur Dalam Waktu, Farra bersyukur apabila ia mencecah 500,000 tontonan dalam tempoh sebulan selepas dimuat naik di YouTube pada Mei tahun lalu.

“Buat masa ini saya merancang menghasilkan single kedua genre balada bersama Akim. Sepanjang bergelar artis, Stacy dan Akim banyak memberi dorongan untuk mengembangkan potensi, penampilan dan penjagaan vokal,” katanya.

Farra yang kini menyambung pengajian Sarjana Muda di Universiti Wales berpangkalan di Kuala Lumpur memberitahu, bakatnya mula dikesan ketika menuntut di sekolah rendah di Putrajaya.

“Saya menyertai pertandingan nyanyian di Kuala Lumpur selain mengadakan persembahan di hotel ketika berusia belasan tahun. Saya mengambil keputusan untuk bergelar penyanyi secara serius bermula tahun lalu,” katanya.

Pemilik Instagram (IG) farra_umyra dan memiliki 100,000 pengikut itu berkata, dia akan menjayakan tiga konsert mini di Johor Bahru dan Putrajaya antara September hingga November depan.

Konsert anjuran Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA) itu bakal menyaksikan Farra bergandingan dengan penyanyi popular antaranya Akim, Stacy, Hafiz Suip, Hazama, Caliph Busker, Marsha, Haqiem Rusli dan Nabila Razali.

“Saya bersyukur biarpun bergelar artis baru atau budak baru nak up (BBNU), saya dapat menjayakan lima persembahan dalam setahun,” katanya.

Menurutnya, dia juga bercadang menghasilkan single yang mesra kepada penunggang motosikal memandangkan 95 peratus pengikutnya di IG adalah peminat motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 4:00 AM