ANGGAP wajahnya yang seiras Nabila Razali satu bonus.
ANGGAP wajahnya yang seiras Nabila Razali satu bonus.
Ridzuan Abdul Rahman

BAKAT yang ada pada Kasih Lia Bishara mengundang minat komposer terkenal, LY dan isteri yang juga penulis lirik, Baiduri melamarnya sebagai artis Kelarai Sakti Sdn Bhd.

Penyanyi berusia 18 tahun yang juga bekas pelajar generasi pertama Sekolah Seni Malaysia Perak pada 2016 hingga 2019 kini tampil dengan single berjudul Salah Sangka, hasil gabungan dua nama popular ini.

"Saya bersyukur kerana dapat perhatian daripada pasangan ini sebagai artis mereka. Tawaran ini satu penghargaan besar terhadap bakat saya yang semakin berkembang.

"Saya pernah tampil dengan tiga single sebelum ini iaitu Tinju ciptaan dan lirik saya sepenuhnya,

Andai ciptaan Nuzurul dan lirik Demee Denee serta Indahnya Syawal ciptaan Nuzurul dan lirik Nuzurul.

"Lagu Tinju dan Salah Sangka diterbitkan di bawah publishing Kelarai Sakti. Lagu Tinju sebenarnya dihasilkan untuk projek akhir pembelajaran saya," katanya.

Penyanyi kelahiran Langkawi ini mengakui, agak sukar merakamkan lagu Salah Sangka bagi memastikan ia sempurna.

"Saya kena buat rakaman vokal tiga kali. Melodinya nampak mudah tapi agak sukar untuk menyampaikannya. Apa-apa pun saya bersyukur berjaya membawa lagu ini dengan penuh penghayatan dan baik. Saya beruntung kerana diberi tunjuk ajar yang baik oleh LY.

"Selain itu, saya juga merasai pengalaman merakamkan video muzik lagu ini yang ditaja oleh Hotel De Art dan Quay Side Mall yang ambil masa selama dua hari," katanya.

Meneliti profilnya, anak keempat daripada enam beradik yang berbakat bermain piano dan cello ini mempunyai deretan pencapaian yang boleh dibanggakan.

Antara program besar yang pernah dijayakannya ialah sebagai penyanyi utama mewakili sekolah ke Festival Orkestra POP Patriotisme Peringkat Kebangsaan 2019, penyanyi jemputan Majlis Makan Malam Amal KASIH Negeri Perak 2019 dan penyanyi jemputan Majlis Makan Malam Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) 2019.

Dalam pada itu, wajahnya yang seiras Nabila Razali membuatkan ramai peminat tersalah sangka dia penyanyi berkenaan.

"Memang ramai yang cakap begitu, namun siapalah saya nak dibandingkan dengan dia. Jujurnya Kak Bella (Nabila) memang idola saya.

"Apabila ada yang kata sama, saya senyum dan seronok. Mungkin ada iras, tapi saya masih kerdil berbanding dia. Ia ibarat bonus buat saya.

"Pada saya ini juga benda positif. Setidak-tidaknya orang nak tengok siapa saya yang dikatakan mirip Nabila Razali," katanya.

Akuinya ada juga peminat mengajaknya bergambar, namun dia segera memperkenalkan dirinya agar tidak berlaku salah faham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:30 AM