myMetro

Norizman Ismail (gambar) mengakui beberapa litar baharu yang diperkenalkan pada musim 2016 dilihat tidak banyak memberi kelebihan buat jentera Honda khususnya kategori CP130 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016.

Menjelang perlumbaan pusingan kelapan di Temerloh, Pahang, esok dan Ahad ini, pelumba senior pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu satu-satunya pelumba yang menggunakan jentera Honda untuk berada dalam kelompok lima pelumba terbaik yang diselubungi penguasaan pelumba Yamaha.

Norizman ketika ini menghuni tangga ketiga dengan 68 mata yang menyaksikan gabungan dua pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor Kasma Daniel Kasmayudin dan Ahmad Fazli Sham memenangi kesemua perlumbaan. Kasma mendahului senarai keseluruhan selepas mengumpul 150 mata dan Fazli, 111.

Kedudukan keempat dan kelima milik Ahmad Afif Amran dan Ahmad Fazrul Sham, masing-masing dengan 63 mata.

“Kempen kami pada tahun ini agak mencabar, terutama di litar baharu seperti Pasir Mas dan Kemaman. Litar itu agak pendek dan sangat teknikal sehingga menyebabkan kami sukar mendapatkan pelarasan enjin dan suspensi yang terbaik.

“Namun saya bernasib baik kerana masih mampu menempatkan diri di tangga ketiga meskipun kehilangan banyak mata kerana gagal menamatkan perlumbaan,” kata Norizman.

Berbaki tiga pusingan, Norizman menganggap peluang untuk mengejar kedudukan teratas sudah tertutup.

“Pada peringkat awal, strategi kami adalah untuk membantu dan meletakkan pelumba junior, Hafiz Nor Azman sebagai pelumba utama pasukan terutama sekali selepas melihat dia bersaing sengit bersama Kasma pada pusingan pembukaan.

“Namun nampaknya strategi kami tidak berjalan lancar dan saya juga perlu bekerja keras untuk membantu pasukan berada di kedudukan yang baik. Kami perlu mengkaji strategi terbaik untuk baki tiga perlumbaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 11:01 AM