NORIZMAN (kiri) tekad bawa pulang gelaran.
NORIZMAN (kiri) tekad bawa pulang gelaran.

Qatar: Tugas getir menanti Norizman Ismail dalam usaha merebut gelaran juara Underbone 130cc pada pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) 2014 di Litar Antrabangsa Losail, minggu ini.

Perlumbaan di Qatar peluang terbaik buat pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu menamatkan cabaran dalam kelompok terbaik selepas gagal melakukannya sepanjang dua musim lalu.

Norizman kini menghuni tangga kedua keseluruhan dengan 118 mata, 30 mata di belakang pendahulu, Gupita Kresna yang mengumpul 148 mata manakala Taiga Hada dari pasukan T Pro Yuzy Honda NTS ketiga, 113 mata.

Bagi Norizman, dia tidak boleh mensia-siakan peluang dan perlu mengelak melakukan kesilapan mudah, namun pada masa sama turut mengharapkan pendahulu, Gupita melakukan kesilapan bagi menghidupkan peluang merebut takhta keseluruhan.

“Situasi di Qatar amat getir bagi saya. Saya perlu menang kedua-dua perlumbaan dan paling penting berada di atas podium dalam kedua-dua perlumbaan,” jelas Norizman.

“Sudah lama pelumba Malaysia tidak menang gelaran Underbone sejak kali terakhir Mohd Affendi Rosli muncul juara pada 2009.

“Saya begitu bersemangat untuk membawa pulang gelaran tahun ini meskipun sedar kedudukan ketika ini banyak memberi kelebihan buat Gupita. Selain itu saya juga perlu mengatasi pencabar lain yang turut memburu kejuaraan tahun ini."

Menurut pelumba berusia 28 tahun itu, perlumbaan waktu malam di litar itu memberi kelebihan kepada jentera Honda.

“Pasukan kami pernah menaiki podium di sini dan saya yakin jurutera pasukan pasti dapat menyediakan jentera terbaik minggu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:10 AM