Kangar: Cuaca hujan memberi kelebihan buat Norizman Ismail untuk mendahului sesi ujian masa CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2014 di Kangar, Perlis, semalam.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu mencatat masa terpantas 44.703s dengan mengatasi Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) 44.727s diikuti Mohd Affendi Rosli (PETRONAS Yamaha-CKJ) ketiga, 44.840s.

"Ketika kami keluar ke litar, cuaca sudah mula hujan dan pasukan juga sudah bersedia dengan pelarasan sesuai mengikut keadaan litar basah. Jadi saya tidak menghadapi banyak masalah dan agak selesa dengan keadaan litar basah seperti ini," jelas Norizman.

"Cuma, sukar untuk kami menentukan pelarasan pada sesi Superpole esok (hari ini) jika keadaan cuaca sekejap panas dan kemudiannya hujan seperti hari ini. Kalau boleh saya mengharapkan keadaan hujan dan litar basah, namun saya tidak menghadapi masalah jika cuaca kering kerana akan tetap tampil dengan aksi terbaik dan akan berusaha untuk merebut petak hadapan."

Bercakap mengenai peluang untuk mengejar kedudukan pendahulu keseluruhan selepas hanya 11 mata dibezakan dengan pendahulu, Mohd Zaqhwan, Norizman berkata, "Kami masih ada baki tiga perlumbaan jadi apa sahaja boleh berlaku. Saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang gelaran keseluruhan, sebaliknya mengatur strategi untuk menamatkan setiap pusingan di kedudukan tiga terbaik. Saya yakin keputusan hanya akan ditentukan pada perlumbaan terakhir di Kedah nanti."

Dalam kategori CP115, Mohd Amirul Ariff Musa (Givi Honda Yuzy Racing) menyekat dominasi pasukan Motul Yamaha YY Pang apabila berjaya mencatat masa terpantas 43.329s sambil diekori Elly Idzlianizar Ilias (M Seki Liberty Honda) 43.570s dan Mohd Izzat Zaidi Salehan (Motul Yamaha YY Pang) 43.642s.

Saingan sesi ujian masa kategori Wira terpaksa dibatalkan ekoran keadaan litar yang kurang memuaskan akibat hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:04 AM