AHMAD Afif.
AHMAD Afif.
Khairil S Iswan


PELUMBA PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ, Ahmad Afif Amran mengharapkan tuah dalam usaha mengekang

Kasma Daniel Kasmayudin menjulang kejuaraan kelas elit CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS lebih awal.

Pada perlumbaan pusingan 9 yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, hujung minggu ini, Afif mengakui keadaan tidak memihak dirinya apabila ketinggalan 25 mata dengan Kasma berbaki dua pusingan.

Jika Kasma yang turut beraksi di Kejuaraan CEV Eropah dalam kelas Moto3 menamatkan perlumbaan di hadapannya di Batu Kawan, kejuaraan kategori utama dalam perlumbaan tempatan itu sekali lagi menjadi miliknya tanpa menunggu keputusan di pusingan akhir.

Kasma yang beraksi bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor ketika ini mengumpul 125 mata dengan Badar Penawar Johor menjadi destinasi terakhir perlumbaan pada 18 dan 19 November ini.

AKSI Afif dalam saingan elit CP150 musim ini. -Foto fail
AKSI Afif dalam saingan elit CP150 musim ini. -Foto fail

“Semua tahu Kasma seorang pelumba yang pantas dan bukan mudah untuk menewaskannya,” kata Afif.

“Tetapi apa saja boleh berlaku di dalam litar, contohnya seperti pusingan lalu apabila Kasma mengalami kemalangan, begitu juga dengan saya dan kami sama-sama kehilangan banyak mata di Jempol.

“Ini membuktikan yang saingan masih belum tamat selagi kami belum melintasi garisan penamat. Apa yang penting, saya perlu fokus untuk memberi aksi terbaik dan cuba untuk menewaskan Kasma.

“Jika gagal, sekurang-kurangnya saya sudah memberikan yang terbaik di atas litar dan sasaran saya untuk tamat di kelompok lima pelumba terbaik di Batu Kawan untuk mengekalkan kedudukan sebagai naib juara keseluruhan.”

Selain cuba untuk menghalang Kasma, Afif, 22 juga perlu berhati-hati dengan cabaran dua lagi pelumba iaitu Ahmad Fazli Sham dan Mohd Ramdan Rosli yang mengekori di kedudukan ketiga dan keempat dengan masing-masing mengumpul 75 dan 70 mata.

“Tugas saya pada minggu ini agak berat. Saya perlu merancang strategi terbaik. Selain berusaha untuk mengekang Kasma, saya juga perlu berwaspada dengan Fazli dan Ramdan kerana mereka boleh mengancam kedudukan saya ketika ini.

“Saya tidak boleh melakukan kesilapan sama seperti di Jempol apabila hanya memungut satu mata saja. Pada masa sama saya juga memerlukan rakan sepasukan untuk membantu saya menamatkan saingan di podium.

“Dari segi jentera, saya yakin jurutera pasukan telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik.”

KEDUDUKAN KESELURUHAN CP150

1. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, 125 mata

2. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ, 100 mata

3. Ahmad Fazli Sham (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, 75 mata

4. Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, 70 mata

5. Md Adib Rosley (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, 67 mata

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 11:38 PM