KASMA (depan) mendahului perlumbaan di Litar Taman Tasik Raja, Pasir Mas, semalam.
KASMA (depan) mendahului perlumbaan di Litar Taman Tasik Raja, Pasir Mas, semalam.
myMetro

Kota Bharu: Pelumba rookie CP130 Kasma Daniel Kasmayudin merapatkan jurang pendahulu kepada tiga mata berbanding pendahulu yang juga rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham selepas menjuarai perlumbaan akhir CP130 pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Meskipun bermula agak perlahan dan sedikit ketinggalan pada peringkat awal perlumbaan, Kasma menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan catatan 13 minit 56.822 saat, hanya 0.012s dibezakan dengan Ahmad Fazli selepas aksi pintas memintas membabitkan kedua-dua pelumba itu.

Tempat ketiga milik Md Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 13:58.310s.

“Permulaan saya tidak begitu baik ditambah dengan kesilapan di selekoh pertama menyebabkan saya sedikit ketinggalan pada peringkat awal perlumbaan.

“Namun, kami berjaya menyediakan jentera yang begitu baik dan membantu saya untuk kekal berada dalam kelompok depan.

“Saya hanya mengekori Fazli sehingga Hafiz Nor Azman berada di belakang dan melakukan percubaan untuk memintas. Selepas itu saya mula mencari ruang untuk berada di depan Fazli, namun pada masa sama kami pula saling bertukar kedudukan sehingga pusingan terakhir,” kata Kasma.

Selepas empat pusingan, pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu kini mengumpul 75 mata hasil tiga gelaran juara termasuk pusingan pembukaan di Serdang, Selangor dan pusingan ketiga di Kangar, Perlis manakala Fazli di tangga teratas (78) sambil Zaqhwan naik ke tangga ketiga (45).

Kemenangan ini juga meletakkan pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor selesa mendahului kedudukan berpasukan dengan mengumpul 163 mata diikuti Motul Zeneos Yamaha YY Pang dengan 89 mata dan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing ketiga, 77 mata.

Dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin meraih kemenangan ketiganya musim ini selepas mengungguli 12 pusingan perlumbaan yang dihentikan seketika selepas bendera merah dikibarkan akibat insiden kemalangan membabitkan enam pelumba pada permulaan perlumbaan.

Sebaik perlumbaan bersambung, Tengku Amirul mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat dan menamatkan perlumbaan dengan masa 8:32.857s. Tempat kedua milik Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Yamaha Maju Motor) 8:34.043s dan Md Aznil Md Ali (M Seki Liberty Honda) ketiga 8:35.172s.

Sementara itu, Md Shafiq Ezzariq (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) meneruskan kecemerlangan apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam kategori Wira musim ini dan seterusnya memungut 100 mata maksimum untuk terus mendahului kedudukan keseluruhan pelumba.

Tempat kedua keseluruhan kekal milik Md Helmi dengan mengumpul 53 mata manakala Md Qhuwarismi berada di tangga ketiga dengan 47 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:05 AM