Kuala Lumpur: Pendahulu CP130 Kasma Daniel Kasmayuddin (gambar) yakin gandingan bersama pelumba senior, Ahmad Fazli Sham memainkan peranan penting untuk kekal dalam kelompok pendahulu pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 di Batu Kawan, Pulau Pinang, minggu ini.

Pelumba berusia 17 tahun yang mewakili pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor itu kini mengumpul 25 mata, lima mata mengatasi rakan sepasukan, Fazli hasil kemenangan satu dua di Serdang, bulan lalu.

“Fazli pelumba cukup berpengalaman dan saya boleh bergantung harap kepadanya bagi mempertahankan kedudukan kami dan pasukan dalam kategori CP130.

”Sewaktu perlumbaan pembukaan tempoh hari, Fazli berjaya menyekat pelumba di belakang bagi membantu saya berjaya menang dengan jurang masa yang besar.

“Kami harap dapat sekali lagi mengatur strategi untuk sama-sama naik ke atas podium pada perlumbaan di Batu Kawan,” kata Kasma.

Jurang perbezaan umur 17 tahun di antara pelumba rookie CP130 itu dan Fazli tidak menjadi penghalang untuk mereka serasi bekerjasama di litar.

“Fazli juara 2007 dan 2008. Dia meraih banyak kejayaan sepanjang kariernya dan mentor sejak saya mula menyertai Maju Motor selain tidak pernah kedekut berkongsi ilmu,” kata Kasma yang juga juara CP115 musim 2015.

“Kali terakhir Maju Motor muncul juara keseluruhan berpasukan CP130 lapan tahun lalu. Saya harap kali ini kami dapat kembali meraih gelaran itu.”

Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan pada 16 dan 17 April ini. Masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 8:27 AM