ALIF Ikmalrizal (kiri) melepaskan percubaan ke arah gawang Timor Leste pada perlawanan Piala AFF B-23, malam tadi. FOTO FB FAM
ALIF Ikmalrizal (kiri) melepaskan percubaan ke arah gawang Timor Leste pada perlawanan Piala AFF B-23, malam tadi. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Insya-Allah di peringkat separuh akhir lawan Vietnam, esok, saya akan buat yang terbaik untuk Malaysia."

Itu kata ubi muda skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Alif Ikmalrizal Anuar yang meledak dua gol ketika membantu pasukan menumbangkan Timor Leste 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan AFF B-23 di Rayong, Thailand, malam tadi.

Dalam aksi itu, Alif beraksi cukup ampuh di bahagian penyerang dengan memberi tekanan demi tekanan ke atas benteng lawan sepanjang 90 minit perlawanan.

Hasilnya, pemain tinggi lampai yang beraksi untuk Penang FC itu meledak dua gol pada minit kelima dan ke-64 manakala satu lagi gol skuad negara disumbangkan Aliff Izwan di minit ke-13.

Manakala gol saguhati Timor Leste pula diraih menerusi Olagar Xavier di minit ke-41.

Selepas aksi itu, Alif mengakui dia cukup bermotivasi untuk membantu pasukan di separuh akhir menentang Vietnam di Stadium Rayong, petang esok.

Katanya, dia gembira dapat meledak dua gol ke atas Timor Leste dan berazam mengulangi aksi sama ke atas Vietnam nanti.

"Alhamdulillah saya dapat jaringkan dua gol dan dapat bantu pasukan Malaysia ke pusingan seterusnya," katanya.

Selain Alif, skuad kendalian E Elavarasan turut memiliki senjata rahsia di bahagian depan iaitu Fergus Tierney yang sebelum itu meledak dua gol ketika membenam Indonesia, 2-1 pada perlawanan sulung kumpulan.

Kedua-dua penyerang itu dijangka bergandingan bagi merobek gawang Vietnam yang hadir selaku juara bertahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 5:32 PM