Gary Steven Robbat (kiri) berebut bola dengan pemain Timor Leste, Fernandes Ezequeil ketika perlawanan Kumpulan B Sukan SEA ke-28 Singapura 2015 di Stadium Bishan, Singapura. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Gary Steven Robbat (kiri) berebut bola dengan pemain Timor Leste, Fernandes Ezequeil ketika perlawanan Kumpulan B Sukan SEA ke-28 Singapura 2015 di Stadium Bishan, Singapura. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Daripada Aziman Rosdi di Singapura


Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara terselamat daripada menanggung aib pada aksi pertama Kumpulan B Sukan SEA Singapura apabila hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Timor Leste di Stadium Bishan malam tadi.

Tiga mata yang diraih skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu cukup penting selepas mereka terpaksa bergelut selama 60 minit dengan 10 pemain apabila Muhammad Nazmi Faiz Mansor dibuang padang.

Skuad negara bermula garang seawal minit kedua menerusi tandukan pemain pertahanan tengah Mohammad Amer Saidin namun tandukkannya berjaya diselamatkan penjaga gol Timor Leste Ramos Maxanches.

Selepas beberapa percubaan akhirnya Malaysia berjaya meraih gol pertama hasil rembatan pemain sayap D Saarvindran dalam kotak penalti hasil larian menarik Muhammad Nurridzuan Abu Hassan dari sebelah kiri.

Anak buah Kim Swee yang menggalas misi merampas semula pingat emas yang dimenangi di Sukan SEA Indonesia 2011 hampir menambah gol namun penyerang tunggal Muhammad Syafiq Ahmad mensia-siakan peluang terbaik tatkala berdepan situasi satu lawan satu dengan Maxanches.

Malaysia kehilangan seorang pemain selepas pemain tengah Nazmi Faiz dilayangkan kad merah oleh pengadil Singapura Foo Chuan Hui di minit ke-31 kerana meludah pemain Timor Leste Filipe Oliveira selepas dirinya dikasari.

Tiada banyak yang mampu dilakukan pemain negara apabila Timor Leste mula memberi tekanan dengan melancarkan asakan pada babak kedua.

Timor Leste yang dibimbing Fabio Da Silva hampir menyamakan kedudukan, namun penjaga gol Mohd Farhan Abu Bakar menyelamatkan percubaan tepat pertama pasukan lawan dalam tempoh 90 minit yang dilakukan Barbosa.

Malaysia bakal meneruskan saingan menentang Vietnam Selasa ini di Stadium Bishan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 11:13 PM