MAKIN jelita selepas berhijab.
MAKIN jelita selepas berhijab.
Oleh Norhayati Nordin


Enggan lagi berbicara mengenai cinta, ia tidak bermakna hubungan kasih dijalin pelakon jelita, Emma Maembong bersama pelawak terkenal, Zizan Razak sudah berantakan.

Segalanya dilakukan Emma demi menghormati banyak pihak terutama pandangan peminatnya dan Zizan. Katanya dia tidak mahu peminat mereka berdua bosan asyik membaca kisah sama.

"Saya kalau boleh memang tak mahu jawab atau bercerita lagi mengenai cerita cinta kami. Bagi saya, cukup-cukuplah dengan apa yang dilaporkan selama ini. Sekarang, saya lebih selesa berkongsi kisah mengenai perkembangan karier lakonan serta perniagaan online busana Muslimah yang diusahakan.

"Pendekatan tidak mahu bercerita ini bukan disebabkan hubungan saya dan Zizan bermasalah. Tetapi, saya cuma tidak mahu peminat bosan membaca kisah sama. Meskipun gaya penulisan wartawan yang menulis berbeza tetapi mesej masih sama mengenai kisah cinta. Jadi, sekarang saya tak mahu terus bercerita lagi," katanya.

Mahu 'lepaskan' kakak dulu

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 22, memaklumkan soal jodoh hanya Tuhan yang mampu menentukannya. Sebagai manusia biasa, katanya hanya mampu merancang saja.

"Jika sampai jodoh saya nanti, sudah pasti akan diumumkan juga. Saya takkan berselindung apabila tiba masanya. Cuma, sekarang saya minta tolong hormati permintaan ini. Lagipun, usia saya jauh lebih muda berbanding kakak yang lain.

"Selain Baby, Shikin dan Yaya yang sudah bertemu jodoh dan selamat bergelar isteri, saya masih ada dua kakak yang masih solo. Jadi, biarlah lepaskan mereka dulu untuk bertemu jodoh masing-masing dan selepas itu baru saya dan adik, Chacha (Maembong) boleh menyusul langkah kakak-kakak yang lain," katanya.

Emma yang cukup dikenali peminat menerusi drama adaptasi novel Projek Memikat Suami berkata, dia juga bersyukur rezeki berlakon masih ada buatnya.

Padam semua gambar tak berhijab di Instagram

Anggun dengan imej berhijab kini, Emma berkata sebaik membuat keputusan menutup aurat, dia pasrah jika tiada lagi tawaran berlakon diterima. Apatah lagi, kini dia giat mengusahakan perniagaan online.

"Namun, sangkaan saya meleset kerana sehingga kini tawaran berlakon masih diterima. Cuma, saya lebih selesa memilih karakter sesuai saja. Saya pun bukan seorang yang tamak merebut tawaran.

"Saya seorang yang selesa memberi tumpuan pada satu-satu kerja. Apabila kerja itu selesai, baru saya fikirkan untuk terima tawaran lain pula," katanya.

Teruja mendapat tawaran membintangi supertelefilem Hantu Wifie 2, Emma berkata dia menerima tawaran itu kerana tertarik dengan watak diberi. Masih lagi melakonkan watak hantu, katanya kini dia muncul bertudung.

"Tak tahulah macam mana kelakarnya nanti, saya jadi hantu yang bertudung dalam supertelefilem itu. Maklumlah, hantu yang sudah insaf. Apapun, saya seronok dengan watak itu," katanya masih bergandingan dengan Zizan dalam supertelefilem itu.

Mengulas mengenai tindakan memadam semua gambar tak berhijab dalam laman sosial Instagram (IG) miliknya, Emma berkata buat apa lagi dia menyimpan gambar lama itu.

Ujarnya, memandang sudah berhijrah seikhlas hati maka lebih baik dia padamkan saja gambar itu dan memuat naik dengan foto baru yang menutup aurat. Menurut Emma, ia langkah yang wajar diambilnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:03 AM