Sudirman Mohd Tahir dan Najiy Jefri


“SELAMA ini bukan hipokrit tetapi keputusan ini dibuat kerana saya mahu menjadi diri saya. Sudah sampai waktu saya memikirkan kebahagiaan dan kegembiraan diri sendiri.

“Lagipun, ketika bertudung tiada siapa yang suruh, ia atas kerelaan sendiri. Dan, keputusan untuk buka tudung pun atas kehendak sendiri, bukan kerana orang lain,” kata pelakon Emma Maembong mengenai keputusannya tidak lagi berhijab sejak tiga hari lalu.

Emma ketika ditemubual secara langsung di Facebook Live Harian Metro berkata, sudah sampai masanya dia memikirkan kebahagiaan diri sendiri.

“Sampai bila nak jaga hati orang. Saya berhak cari kebahagiaan dan tersenyum gembira.

“Selama ini kerjaya saya menghiburkan orang lain. Saya nak juga ada kehidupan sendiri,” katanya.

Menurut Emma, dia bersedia sekiranya peminat mahu memboikot drama lakonannya selepas kecewa dengan keputusan itu.

“Siapa yang masih menyokong, syukur manakala sebaliknya saya terima. Saya tak kisah kerana keluarga dan rakan-rakan tetap ada dengan saya. Itu sudah memadai.

“Setiap manusia buat kesilapan. Keputusan saya ini memang salah namun tegurlah secara baik dan beri sokongan motivasi,” katanya.

Emma turut menjelaskan, keputusan untuk tidak berhijab bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya sudah lama difikirkan.

“Ini bukan keputusan mengejut tetapi sudah lama saya fikirkan.

“Saya tahu ramai marah, saya minta maaf. Saya tak kisah orang bagi nasihat. Kalau benda tak elok orang nasihat saya terima bulat-bulat. Saya tak marah pun.

“Biarlah keputusan ini antara saya dengan Allah,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi keluarganya, Emma berkata, mereka tidak menyokong tetapi menghormati keputusannya.

“Mereka tak sokong sebab keputusan itu salah. Namun mereka memahami dan mahu saya menjadi diri sendiri.

“Lagipun, mereka tahu jatuh bangun saya. Apa yang saya lalui bukan mudah tak seperti senyuman di Instagram.

“Mereka tidak melarang tetapi mendoakan supaya satu hari nanti saya jumpa jalan yang terbaik dan teruskan apa yang saya buat (berhijab) sebelum ini. Mereka juga pesan jangan berhenti berdoa,” katanya.

Mengulas mengenai perniagaan tudung yang diusahakan, Emma bersedia menerima apa saja kemungkinan.

“Saya mulakan bisnes ini sebelum bertudung lagi. Saya pakai tudung bukan sebab nak jual tudung .

“Kalau masih ada yang beli saya berterima kasih, kalau tak mahu beli lagi saya tetap berterima kasih sebab pernah sokong perniagaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 8:40 PM
EMMA tidak lagi bertudung. FOTO ihsan Emma Maembong
EMMA tidak lagi bertudung. FOTO ihsan Emma Maembong