EMMA anggap dirinya solo selagi belum berkahwin, bebas berkawan dengan sesiapa saja
EMMA anggap dirinya solo selagi belum berkahwin, bebas berkawan dengan sesiapa saja
Najiy Jefri


KISAH hubungan rapat pelakon Emma Maembong dengan abang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Syed Abdullah bukan lagi rahsia.

Sebelum ini kecoh mengenai kontroversi membabitkan pasangan itu apabila beberapa foto mirip mereka bercuti di luar negara tersebar di Internet.

Bagaimanapun, ketika ditemui dalam satu majlis hiburan baru-baru ini, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, 27, menegaskan mereka tidak pernah bercinta atau mempunyai sebarang hubungan istimewa.

“Sejak bila bercinta? Kami hanya berkawan sahaja. Saya sentiasa berhubung dengan semua orang sebab tak salah pun kita berkawan.

“Tiada seorang pun saya bermusuh sebab bagi saya industri ini kecil sahaja, pusing-pusing akan jumpa balik.

“Lagipun, normal sebelum berkahwin dan bertemu individu yang tepat, tak salah untuk kita kenal ramai orang. Kalau tak ada jodoh, mungkin dengan orang lain pula. Takkan nak tangkap muat dengan sesiapa sahaja,” katanya.

Emma turut menegaskan dirinya masih solo selagi masih belum berkahwin.

Sementara itu, Emma turut menjawab gosip cinta membabitkan dirinya dengan anggota kumpulan K-Clique, Noki.

Tegas Emma, antara dia dan Noki hanyalah kawan memandangkan dia sudah mengenali jejaka itu sejak tujuh tahun lalu.

“Sebenarnya Noki adalah adik kepada kawan baik saya, Lala dan kami sudah kenal sejak tujuh tahun lalu.

“Mungkin orang mula berkata-kata kerana dia kian popular sekarang. Saya tiada apa-apa hubungan istimewa pun dengan dia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Emma memberitahu dia bakal terbabit dengan sebuah drama bersiri berjudul Dia Kembarku yang turut dibintangi Norman Hakim untuk siaran TV3 selain terpaksa menolak sebuah filem kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Saya terpaksa tolak penggambaran filem. Sayang memang sayang apabila terpaksa melepaskan tawaran itu, tetapi mungkin belum rezeki.

“Lagipun saya tidak mahu tamak. Saya tahu kemampuan saya bekerja. Kalau ambil kedua-dua tawaran ini bimbang saya tidak boleh memberikan komitmen yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 5:30 AM