YOSHIKAWA bangga dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Jepun.
YOSHIKAWA bangga dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Jepun.
GAYA yakin Yoshikawa ketika memilih baju untuk diperagakan.
GAYA yakin Yoshikawa ketika memilih baju untuk diperagakan.
SEJAK kecil Yoshikawa berdepan dengan sikap prejudis masyarakat terhadap warna kulit dan keturunannya.
SEJAK kecil Yoshikawa berdepan dengan sikap prejudis masyarakat terhadap warna kulit dan keturunannya.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Apabila membaca kisah Ratu Cantik Jepun, Priyanka Yoshikawa berdepan pandangan sinis masyarakat negara yang terkenal dengan kebersihan dan adab sopannya itu, penulis teringat kepada pelakon terkenal, Takeshi Kaneshiro kerana dia juga melalui pengalaman yang lebih kurang sama.

Siapa sangka, Jepun yang sudah sekian lama diiktiraf sebagai negara maju masih mempunyai masyarakat yang tidak berfikiran terbuka. Benar mereka amat menghormati tetamu (termasuk pelancong) tetapi amat sukar untuk penduduknya menerima anggota masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campur.

Menitis air mata Yoshikawa apabila dia dinobatkan sebagai ratu cantik, yang secara tidak langsung memberinya peluang memperjuangkan kesaksamaan kaum apatah lagi selepas Ariana Miyamoto mendapat kecaman hebat tatkala dia menjadi wanita berkulit gelap pertama mewakili Jepun tahun lalu.

Takeshi Kaneshiro sendiri yang dilahirkan dalam keluarga campur (Taiwan dan Jepun) berdepan pelbagai cabaran termasuk sering diejek dan dipulaukan rakan sekolah kerana dia dianggap Jepun ‘celup’. Apabila bersekolah di Taiwan, dia juga disisih kerana dianggap sebagai ‘orang Jepun’ yang akhirnya memaksa ibu bapanya memindahkan dia ke sekolah antarabangsa.

Ramai penduduk Jepun berpendapat, wanita yang mahu menjadi Miss Universe Japan mestilah orang Jepun ‘tulen’ dan gadis ‘haafu’ iaitu sebutan masyarakat negara itu untuk perkataan ‘half’ (separuh) - perkataan yang merujuk kepada generasi daripada perkahwinan campur - tidak layak dilantik sebagai ‘duta kecantikan’.

“Sebelum Ariana, gadis haafu tidak dibenarkan mewakili Jepun. Saya sendiri berfikiran begitu sehinggalah Ariana muncul. Dia memberi galakan dan menunjukkan laluan bagi kami yang mempunyai darah campuran,” kata Yoshikawa.

“Saya fikir sudah sampai masanya untuk kita berfikiran terbuka. Kami juga penduduk Jepun. Benar, saya ada darah campuran India dan orang selalu bertanya mengenai ‘ketulenan’ saya. Ayah saya keturunan India dan saya bangga dengannya. Saya bangga ada darah India tetapi ia tidak bermakna saya bukan rakyat Jepun,” katanya serius.

Seperti Takeshi dan Ariana, Yoshikawa juga sering dibuli kerana warna kulitnya yang berbeza apabila dia mengikuti ayah serta ibunya berpindah ke Jepun pada usia 10 tahun.

“Saya tahu ramai haafu yang menderita. Memang sejak kecil kami berdepan dengan pelbagai cabaran yang menyakitkan hati dan melukakan perasaan. Ketika saya mula tinggal di sini, semua orang pandang saya seperti saya ini kuman.

“Ramai takut hendak bersentuhan dengan saya, seolah-olah mereka menyentuh benda yang buruk. Namun saya tetap bersyukur kerana ia secara tidak langsung menjadikan saya individu yang kuat,” tambahnya.

Selain fasih berbahasa Jepun dan Inggeris, wanita cantik dengan ketinggian 1.76 meter ini berasa selesa setiap kali berada di luar negara kerana tiada siapa pun bertanya mengenai keturunannya.

Mahu ubah persepsi

Gelaran ratu cantik itu diharap menjadi platform bagi memulakan langkahnya memperjuangkan kesaksamaan kaum di Jepun. Pun begitu ia bukan usaha yang mudah kerana sebaik berita kejayaannya diumumkan, sudah ada kata-kata benci.

Antaranya adalah ‘Buat apa adakan pertandingan ini? Pemenangnya tiada ciri nasional’, ‘Nampaknya sekarang wajah Jepun asli tidak boleh lagi jadi pemenang’. Ada yang menulis ‘Miss Japan perlu kelihatan cantik apabila mengenakan kimono. Dia (Yoshikawa) ini boleh tahan, tetapi tidakkah ada wanita Jepun tulen yang layak mewakili Jepun?’

Apa pun kritikan yang dilemparkan, Yoshikawa tidak peduli. Dia tetap akan bersaing dalam pertandingan Miss World yang diadakan di Washington pada Disember depan. Malah dia semakin nekad untuk mengubah persepsi masyarakat Jepun terhadap generasi campuran sepertinya.

Yoshikawa juga mahu memberi sumbangan dengan cara tersendiri kepada usaha kerajaan Jepun untuk memperkenalkan negara itu melalui slogan ‘Cool Japan’ bagi menarik kedatangan pelancong khususnya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sumbangan haafu kepada Jepun sebenarnya banyak tetapi sering dipandang sebelah mata. Contohnya Takeshi Kaneshiro hanya diterima selepas dia berani menongkah arus berlakon dalam drama berkaitan HIV pada 1998 - watak yang tidak diingini mana-mana pelakon lelaki Jepun ketika itu kerana bimbang dipandang serong oleh masyarakat.

Selain itu atlet judo, Mashu Baker turut membanggakan Jepun apabila memenangi pingat emas dalam sukan Olimpik Rio baru-baru ini dan rakannya Asuka Cambridge pula membawa pulang pingat perak menerusi larian trek 4x100 meter.

22 tahun dengan wajah ala artis Bollywood ini bukanlah calang-calang orang. Dia bukan saja mahir dalam sukan kick-boxing, malah mempunyai lesen melatih gajah!

“Ketika kecil dulu ada kalanya saya sendiri keliru dengan identiti saya. Tetapi kini selepas tinggal lama di Jepun, saya tidak ragu lagi, saya adalah orang Jepun!” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 11:12 AM