RATU Wanita Malaya bukan sekadar fokus paras rupa, tetapi juga utama ratu cantik berpendidikan tinggi.
RATU Wanita Malaya bukan sekadar fokus paras rupa, tetapi juga utama ratu cantik berpendidikan tinggi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Penerimaan masyarakat terhadap ratu cantik belum terbuka, selain mempunyai tanggapan 'tidak enak' terhadap golongan itu yang 'dicap' tidak berpendidikan tinggi, hanya bersandarkan kecantikan dan seksi untuk popular.

Namun, golongan ini diangkat dan diberikan kedudukan lebih baik oleh seorang wanita bersama suaminya melalui penubuhan organisasi ratu cantik iaitu Ratu Wanita Malaya (RWM). Di samping perlu memiliki bentuk badan menarik, ratu cantik yang dipilih menyertai organisasi itu adalah dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi, sama ada sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi atau memiliki ijazah sarjana muda.

Pengarah Bersama Nasional RWM, Sheera Azmi dan suami, Afeer Razak (Pengarah Nasional RWM) masing-masing berusia 38 tahun menubuhkan organisasi itu sejak 2021 sudah melahirkan empat ratu cantik serta dua Mr Glam Universe berpendidikan tinggi. Kejayaan terbesar pasangan suami isteri ini ialah melahirkan ratu cantik dalam pertandingan antarabangsa, Manvin Khera, 22.

Pada masa sama, Manvin menjadi rakyat Malaysia pertama dimahkotakan Miss Globe 2023 yang berlangsung di Albania bulan lalu. Selain itu, anak didik Sheera ini turut dimahkotakan sebagai Miss Talent selepas suara lunaknya menyanyikan lagu Bollywood menambat hati juri dalam pertandingan yang berlangsung di negara berkenaan.

Sheera berkata, kejayaan Manvin sekali gus membuktikan RWM dapat menghapuskan stigma negatif berkenaan kerana ratu cantik di bawah organisasinya mempunyai pakej lengkap yang bukan sekadar cantik pada paras rupa, tetapi juga berpendidikan tinggi.

Menurutnya, Manvin adalah penuntut ijazah sarjana muda perundangan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Lembah Klang.

"Ini adalah kriteria penting kepada ratu cantik yang bernaung di bawah organisasi kami termasuk lima ratu cantik yang mewakili Malaysia dalam pertandingan ratu cantik antarabangsa di luar negara tahun depan.

"Di samping itu, setiap ratu cantik perlu mempunyai projek kerja sosial yang mana khidmat ini dikembalikan semula kepada masyarakat.

"Bahkan mereka juga perlu mempunyai sikap yang baik, tidak sombong, berdisiplin dan merendah diri kerana elemen ini menambahkan lagi kecantikan dalaman serta luaran seorang ratu cantik.

LIMA ratu cantik bakal bertanding di peringkat antarabangsa tahun depan.
LIMA ratu cantik bakal bertanding di peringkat antarabangsa tahun depan.

"Kami tidak akan teragak-agak menurunkan mahkota mana-mana ratu cantik yang tidak boleh memberikan komitmen kepada organisasi," katanya.

Dia yang juga jurusolek profesional berkata, rasionalnya memilih ratu cantik berpendidikan tinggi kerana mereka perlu mempunyai kemahiran pengucapan awam yang baik. Ini memudahkan ratu cantik memberikan jawapan terbaik apabila diwawancara stesen televisyen antarabangsa atau tempatan.

Katanya lagi, untuk menjadi ratu cantik perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal kerana latihan selama setahun sebelum menyertai pertandingan di luar negara adalah sangat mencabar.

"Mereka perlu bangun seawal jam 5 pagi setiap hari hingga lewat malam bagi memenuhi jadual aktiviti dan latihan yang padat.

"Selain itu, perlu memakai kasut bertumit setinggi 14 hingga 15 sentimeter (sm) setiap hari dan ini tentunya memerlukan kekuatan pada kaki," katanya.

MANVIN menjadi rakyat Malaysia pertama dimahkotakan Miss Globe 2023 yang berlangsung di Albania, bulan lalu.
MANVIN menjadi rakyat Malaysia pertama dimahkotakan Miss Globe 2023 yang berlangsung di Albania, bulan lalu.

Menurutnya, ratu cantik adalah duta kecil Malaysia di peringkat antarabangsa. Selain membawa gelaran ratu cantik, mereka juga memikul tanggungjawab memperkenalkan Malaysia kepada negara luar.

"Di luar negara mereka turut memperagakan pakaian pereka tempatan yang mengenengahkan budaya Malaysia. Pada masa sama, dapat menaikkan nama pereka fesyen berkenaan," katanya.

Menyorot kembali inisiatifnya menubuhkan organisasi itu, Sheera berkata, usaha itu kerana minat mereka suami isteri yang juga jurusolek profesional dan pereka pakaian.

"Sepanjang dalam bidang ini (jurusolek profesional dan pereka pakaian), kami berasakan Malaysia juga punya potensi sama seperti negara jiran, tetapi kerana kurang persiapan dan keyakinan diri sang ratu cantik, membuatkan Malaysia sering kali tidak mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

"Ini kerana standard antarabangsa untuk seorang ratu cantik mendapat tempat di peringkat antarabangsa masih jauh bagi Malaysia, tetapi kita sudah ke arah itu.

"Pada mulanya kami bekerjasama dengan organisasi ratu cantik lain untuk membantu daripada segi penggayaan, solekan dan pakaian.

BAKAT ratu cantik digilap Sheera dan Afeer.
BAKAT ratu cantik digilap Sheera dan Afeer.

"Dari situ timbul minat untuk membeli lesen ratu cantik yang kemudian menubuhkan RWM dan menganjurkan pertandingan di Malaysia," katanya.

Jelasnya, kerana minat itu juga mereka sanggup mengeluarkan pelaburan besar RM70,000 hingga RM80,000 bagi melahirkan seorang ratu cantik bertaraf antarabangsa.

Namun Sheera berkata, dia dan suami sudah membuat keputusan tidak meneruskan pencarian ratu cantik pada tahun depan bagi memberikan semula tumpuan terhadap perniagaan butik pengantin serta jurusolek.

"Program ratu cantik memerlukan perbelanjaan tinggi dan ini cabaran yang kami harungi sepanjang hampir tiga tahun.

"Ada juga bertanya tidak bimbang andainya nama organisasi ini terkubur. Bagaimanapun, saya mempunyai pendapat sendiri yang mana lebih baik berundur ketika nama di puncak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 6:10 AM