KEMENANGAN Carolina Shiino (tengah) sebagai Miss Japan 2024 menimbulkan kontroversi berkaitan kaum dalam pertandingan ratu cantik. Twitters @ Japan Maritime Public Relations Association.
KEMENANGAN Carolina Shiino (tengah) sebagai Miss Japan 2024 menimbulkan kontroversi berkaitan kaum dalam pertandingan ratu cantik. Twitters @ Japan Maritime Public Relations Association.
Agensi

Tokyo: Wanita kelahiran Ukraine dikritik hebat selepas dinobat Miss Japan 2024, baru-baru ini.

Kemenangan Carolina Shiino, 26, yang berhijrah ke negara matahari terbit itu pada usia lima tahun dan membesar di Nagoya, dipertikai kerana dikatakan bukan warga Jepun asli.

"Terdapat halangan kaum dan ia sangat mencabar untuk diterima sebagai orang Jepun. Saya rasa macam mimpi apabila memenangi gelaran ini.

"Diiktiraf sebagai orang Jepun dalam pertandingan ini membuatkan saya sangat bersyukur," ucapnya ketika menerima kemenangan itu pada Isnin.

Shiino adalah warganegara naturalisasi Jepun yang pertama memenangi pertandingan itu, namun kemenangannya mencetuskan perdebatan terutama di media sosial berhubung makna sebenar 'orang Jepun'.

Walaupun ada yang mengiktiraf kemenangannya sebagai tanda perubahan zaman, namun segelintir pihak berpendapat wanita itu bukan 'Ratu Jepun' yang sepatutnya.

Kemenangannya hampir 10 tahun selepas Ariana Miyamoto yang menjadi wanita dwi-kaum pertama dinobatkan sebagai ratu Jepun pada 2015.

Pada masa itu, kemenangan Miyamoto yang mempunyai ibu warga Jepun dan bapa Afrika-Amerika, menimbulkan persoalan sama ada seseorang yang mempunyai darah campuran layak untuk bertanding dan menang.

Kini, apabila Shiino yang langsung tidak mempunyai keturunan Jepun dinobat pemenang, mengecewakan sesetengah pihak di media sosial.

"Wanita ini dipilih sebagai Miss Japan tidak langsung berdarah Jepun sebaliknya 100 peratus orang Ukraine. Faham, dia cantik tetapi ini Miss Japan. Di mana Jepunnya?" luah seorang pengguna X.

Penganjur Miss Japan Grand Prix, Ai Wada memberitahu BBC, pemilihan Shiino sebagai pemenang tanpa keraguan.

"Dia mampu bercakap dan menulis dalam bahasa Jepun, selain cantik dan sopan.

"Dia lebih Jepun daripada kita," katanya.

Awal tahun lalu, Shiino mengumumkan dalam Instagramnya yang dia memperoleh kewarganegaraan Jepun dan memaklumkan "muka mungkin tidak kelihatan Jepun, tetapi minda sudah menjadi orang Jepun" kerana membesar di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 3:38 PM