KAROLINA Shiino. FOTO Instagram
KAROLINA Shiino. FOTO Instagram
Agensi

Tokyo: Wanita kelahiran kelahiran Ukraine, Karolina Shiino, yang sebelum ini dinobatkan sebagai Miss Japan 2024, terpaksa melepaskan gelarannya selepas terpalit kontroversi menjalin hubungan dengan suami orang, lapor penganjur pertandingan itu, pada 5 Februari lalu.

The Straits Times melaporkan, keputusan itu dibuat selepas tersiarnya laporan dalam majalah Jepun, Shukan Bunshun bertarikh 31 Januari lalu, yang mendedahkan skandal Shiino, 26, dengan seorang doktor yang sudah berkahwin.

Pada 1 Februari lalu, Persatuan Miss Japan mempertahankan dengan menyatakan di laman webnya bahawa doktor terbabit menyalahgunakan gambarnya sebagai seorang bujang dan Shiino tidak mengetahui status perkahwinan lelaki itu.

"Persatuan Miss Japan percaya tiada kesalahan di pihak Karolina Shiino," katanya.

Bagaimanapun, pada 5 Februari lalu, persatuan itu berkata, maklumat lanjut mendapati Shiino tahu status lelaki itu dan mengelirukan orang ramai berhubung perkara berkenaan.

Shiino kemudian memohon maaf dan melepaskan gelarannya sebagai Miss Japan 2024.

Persatuan Miss Japan mengesahkan bahawa gelaran itu akan kekal tanpa diganti sesiapa sepanjang tahun ini, sekali gus menyaksikan situasi yang belum pernah berlaku dalam sejarah pertandingan itu.

Sementara itu, agensi mewakili Shiino dalam satu kenyataan mengumumkan penamatan kontrak Shiino.

Dalam mesej peribadi yang dikongsi di Instagram (IG), Shiino menyatakan kekesalannya dan tidak dapat bercakap benar kerana keliru dan takut.

Shiino dilahirkan di Ukraine dan berhijrah ke Jepun pada usia lima tahun apabila ibunya berkahwin dengan lelaki Jepun.

Pada September tahun lalu, Shiino berkongsi hantaran di IG mengenai perjalanannya menjadi warganegara Jepun.

Shiino sebelum ini dikritik hebat selepas menang pertandingan Miss Japan kerana dikatakan tidak mewakili rupa wanita di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 10:26 AM