Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) akan turun habis-habisan untuk memburu kemenangan bagi mencari bekalan selesa apabila berdepan South China pada suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Mongkok, malam ini.

Walaupun pernah menewaskan kelab Hong Kong itu menerusi agregat 4-2 pada suku akhir musim lalu, namun itu bukan gambaran sebenar skuad yang kini dibimbing Jose Ricardo Rambo selepas mengambil alih tugas Casemiro Mior sejak awal musim lalu mudah dijinakkan.

Sebaliknya, pengendali Johor DT Mario Gomez menyifatkan South China memiliki kekuatan tersendiri selepas mendapat maklumat daripada pembantunya, Raul Longhi betapa pasukan itu diperkuatkan oleh bekas pemain import Sarawak, Nikola Komazec.

“Saya menghantar Raul (Longhi) untuk melihat sendiri kekuatan dan kelemahan South China dan apa yang boleh dirumuskan pasukan itu mempamerkan corak permainan pantas ditambah dengan kelibat pemain lama seperti Mahama Awal dan Bojan Malisic masih kekal bersama skuad itu.

“Agak melegakan kerana kami tidak lagi beraksi di padang rumput sintetik selepas perubahan dilakukan di stadium itu yang menggunakan rumput asli dan ia memberi lebih keselesaan untuk kami beraksi dengan corak permainan lebih mantap.

“Hariss Harun akan diturunkan pada perlawanan itu selepas dia tidak beraksi ketika menentang Terengganu dalam aksi Liga Super akibat penggantungan malah saya juga lega apabila Azinee Taib kembali cergas selepas pulih daripada kecederaan,” katanya.

Walaupun pernah menewaskan kelab itu, Gomez mengingatkan pemain yang bakal diturunkan untuk beraksi melebihi 100 peratus dan sentiasa tenang bagi mengelak melakukan kesilapan mudah dan perlu mengawasi kelicikan dua tonggak utama Chan Wai Ho dan Chan Siu Ki yang menjadi tulang belakang pasukan itu.

Bagaimanapun, pengendali dari Argentina itu optimis gandingan Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero akan menjadi taruhan terbaik untuk memburu jaringan dan menaruh harapan tinggi supaya gandingan Marcos Antonio dan Aidil Zafuan Radzak menafikan percubaan berbahaya lawan.

“Saya mahu menang kerana inginkan bekalan selesa namun di sebalik keghairahan untuk memburu kemenangan itu, setiap pemain harus melaksanakan tugas yang dipikul dan mempamer aksi terbaik,” ujar Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 9:53 AM