FIGUEROA (dua dari kiri) dihalang penjaga gol South China FC.
FIGUEROA (dua dari kiri) dihalang penjaga gol South China FC.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez menganggap keghairahan anak buahnya memburu jaringan menjadi punca South China FC menjaringkan gol penyamaan untuk terikat 1-1 pada aksi suku akhir pertama Piala AFC, kelmarin.

Pengendali dari Argentina itu menambah, selepas gol pertama Luciano Figueroa, pemain Johor DT sepatutnya memperlahankan tempo permainan dan menutup ruang bagi mengelak lawan menguasai perlawanan tetapi mereka sebaliknya leka mahu membolosi gawang lawan lagi.

Katanya, keinginan menggandakan kelebihan itu serta ditambah faktor fizikal pemain Johor DT yang tampak kepenatan menyebabkan pemain South China mengambil kesempatan menyamakan jaringan.

“Saya juga tidak menafikan pemain keletihan selepas perlu mengharungi jadual perlawanan Liga Super yang padat apabila terpaksa beraksi lapan perlawanan dalam tempoh 25 hari.

“Pemain hanya mampu bertahan 70 minit dan tanda-tanda keletihan itu terserlah sehingga terpaksa berhempas pulas menyekat gerakan lawan selain kerap kehilangan bola. Malah saya akui pemain sudah memberi yang terbaik dan bagi saya, keputusan seri itu wajar,” katanya.

Bagi Gomez, walaupun mengenali pemain South China FC selepas pernah membimbing skuad itu sebelum menyertai Johor DT namun tidak semestinya pemain lawan akan mengamal corak permainan yang pernah diterapkan.

Katanya, sudah pasti pendekatan jurulatih Caserimo Mior berbeza dan agak sukar untuk membuat andaian mengenai taktikal permainan kelab dari Hong Kong itu yang juga memiliki barisan pemain tegap.

Beliau berpendapat, pemain import baru Johor DT Leandro Velazquez yang beraksi pada perlawanan itu masih belum mantap sepenuhnya.

“Leandro baru menjalani latihan selama dua bulan bersama Johor DT selepas dia bermain bersama Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II) dan saya lihat dia kepenatan pada babak kedua biarpun corak permainannya di babak pertama agak memuaskan.

“Saya akan memberi cuti kepada pemain selama enam hari dan biar mereka berehat seketika dan akan sambung latihan bagi persiapan Piala Malaysia (yang bermula 11 September) selain aksi suku akhir kedua Piala AFC (15 September),” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 9:17 AM