PENGURUS Johor  DT, Ismail Ibrahim (kanan) bersama pemain pertahanan Aidil Zafuan  pada sidang media suku akhir Piala AFC.
PENGURUS Johor DT, Ismail Ibrahim (kanan) bersama pemain pertahanan Aidil Zafuan pada sidang media suku akhir Piala AFC.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) harus mengetepikan faktor kepenatan untuk memburu kemenangan apabila menentang South China FC pada saingan suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Larkin, malam ini.

Ia penting untuk dijadikan bekalan apabila Johor DT yang dibimbing Mario Gomez akan bertandang ke Stadium Mong Kok, Hong Kong, 15 September nanti dan mengidamkan untuk muncul kelab pertama Malaysia layak ke separuh akhir.

Pengurus Johor DT, Ismail Ibrahim yang mewakili Gomez pada sidang media, petang semalam selepas pengendali dari Argentina itu tidak sihat menegaskan walaupun pemain tampak penat selepas mengharungi jadual padat saingan Liga Super namun sudah bersedia mempamerkan aksi terbaik.

“Selepas beraksi tujuh perlawanan dalam tempoh singkat amat memenatkan pemain.

“Gomez sedang merancang untuk melakukan pertukaran pemain dan kami akan lihat dahulu pemain mana yang kurang cergas dan akan membariskan pemain lebih bersedia pada perlawanan itu nanti.

“Gomez mengenali hampir 90 peratus pemain South China FC kerana dia pernah membimbing pasukan itu sebelum menyertai Johor DT dan perancangan taktikal yang ampuh akan dibuat untuk berdepan kelab dari Hong Kong itu,” kata Ismail.

Ismail juga menegaskan pemain import baru Johor DT, Leandro Velaquez akan beraksi menggantikan Jorge Pereyra Diaz yang kini dipinjamkan ke kelab Altetico Independiente di Argentina.

Beliau berkata, Velaquez akan bergandingan bersama Luciano Figueroa di posisi serangan dan pemain itu sudah menunjukkan keserasian dengan corak permainan Gomez.

“Kita juga akan mendapat kembali Marcos Antonio selepas dia tidak beraksi pada dua perlawanan lalu ketika saingan Liga Super dan pasti kehadirannya akan menguatkan kembali benteng pertahanan,” kata Ismail.

Sementara itu ketua jurulatih South China FC, Casemiro Mior optimis mampu melakar kejutan ke atas tuan rumah biarpun sedar skuad dibimbing Gomez begitu kebal di laman sendiri.

Katanya walaupun sejak tiga bulan lalu pasukannya tidak beraksi pada saingan kompetitif selepas Liga Hong Kong berakhir, persiapan untuk aksi suku akhir Piala AFC berjalan lancar.

“Kami mengadakan beberapa siri perlawanan persabahatan di China dan keputusan cukup positif malah saya yakin semua pemain sudah bersedia menentang Johor DT.

“Penyerang Daniel McBreen sudah tidak bersama kami lagi selepas kontraknya tamat dan penggantinya Borma Jerry Karpeh mampu menguatkan jentera serangan,” kata Mior.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:58 AM