Siti Zarinah Sahib

Selain memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran hijau, ibu hamil disarankan untuk mengambil pelbagai jenis buah-buahan. Makanan sihat seperti bijirin, kacang, daging, ikan, sayuran dan buah-buahan ialah gabungan hidangan kaya nutrisi dan juga vitamin yang diperlukan setiap hari.

Buah-buahan adalah antara makanan yang sangat baik dan boleh dijadikan pengganti makanan utama bagi ibu hamil. Ini kerana buah-buahan jauh lebih sihat dan memiliki banyak khasiat untuk pertumbuhan janin di dalam kandungan.

Walaupun terdapat banyak jenis buah yang disarankan untuk ibu mengandung tetapi ada juga perlu dielakkan kerana boleh memberi kesan kepada kandungan. Antara buah-buahan yang elok dimakan sepanjang kehamilan ialah:

1. Kurma

Kurma mengandungi gizi berkhasiat bagi ibu mengandung. Antaranya kalium, serat, fosforus, besi, belerang, magnesium dan kalsium. Beberapa mineral seperti zat besi sangat bermanfaat bagi membantu tubuh mengeluarkan hemoglobin yang mengelakkan masalah anemia pada ibu hamil. Selain itu kandungan kalium dapat mengurangkan rasa kejang yang sering dialami ibu hamil. Kurma ialah buah paling baik untuk ibu hamil pada trimester pertama dan juga trimester akhir kerana vitamin B dalam kurma membantu menguatkan dinding rahim.

2. Avokado

Buah ini rasanya sangat lazat dan sering digunakan dalam perawatan kecantikan. Khasiat dalam avokado membantu menjaga kesihatan ibu hamil. Ini kerana avokado mengandung asid folik, kalium dan vitamin B kompleks, bagi menjaga kesihatan tubuh dan berkhasiat untuk per­kembangan janin. Asid folik membantu perkembangan otak dan tulang belakang. Pada trimester pertama, avokado membantu mengatasi rasa mual dan muntah.

3. Manggis

Buah berwarna ungu ini memiliki kandungan vitamin C yang tinggi bagi memelihara kulit supaya kekal cantik sepanjang kehamilan. Selain itu manggis juga memiliki kandungan asid folik yang tinggi dan bermanfaat bagi perkembangan janin. Janin akan terhindar daripada risiko kelahiran pramatang.

4. Buah naga

Buah naga memiliki rasa yang cukup unik. Oleh kerana kulitnya tebal buah ini jarang mengandungi racun perosak lain. Oleh itu kandungannya sangat semula jadi dan bagus diambil pada trimester pertama.

5. Epal

Buah ini paling digemari kerana rasanya yang lazat, mudah dimakan dan boleh diperoleh sepanjang tahun. Mengandungi banyak vitamin yang sangat sesuai untuk ibu hamil. Antaranya vitamin A, B1, B2, B3, B5, B6, B9 dan C. Bagi ibu hamil, kandungan serat yang tinggi sangat baik untuk mengatasi sembelit. Jadikan epal sebagai kudapan kerana ia memiliki khasiat diperlukan ibu hamil untuk tetap mendapatkan berat badan ideal.

6. Pisang

Pisang tinggi kandungan kalium dan vitamin B6 yang sangat diperlukan bagi perkembangan janin dalam kandungan. Pisang juga kaya serat pektin yang membantu mengatasi masalah sembelit.

7. Anggur

Anggur kaya vitamin A yang bermanfaat bagi menstabilkan tahap metabolisme. Anggur juga mengandungi asid folik, kalium, fosforus, magnesium dan natrium yang baik sepanjang kehamilan.

Selain buah yang elok dimakan ibu hamil juga perlu mengelak mengambil nanas terutama pada awal kehamilan. Ini kerana kandungan bromelain yang ada pada buah ini dikatakan menjadi penyebab kepada keguguran. Selain itu betik juga mengandung zat lateks yang boleh menyebabkan ibu mengalami kontraksi awal.

Apa yang penting, pastikan buah dicuci terlebih dahulu walaupun luarannya kelihatan bersih. Ini kerana kebersihan makanan dan minuman antara perkara yang sangat penting untuk ibu hamil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 12:14 PM