KIRA-KIRA separuh daripada semua wanita hamil mengalami anemia kekurangan zat besi.
KIRA-KIRA separuh daripada semua wanita hamil mengalami anemia kekurangan zat besi.
Dr Mohamed Rafi dan Dr Ummul Wahiy

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Umra

Penyakit anemia atau kurang darah adalah keadaan jumlah sel darah merah (hemoglobin) berada di bawah aras normal. Kira-kira separuh daripada semua wanita hamil mengalami anemia kekurangan zat besi.

Sel darah merah ditugaskan membawa oksigen ke tisu tubuh anda dan bayi sepanjang tempoh kehamilan. Sehubungan itu, pelbagai risiko boleh berlaku pada diri anda dan bayi yang dikandung.

Lantaran itu, hampir setiap kali menjalani pemeriksaan antenatal, doktor dan jururawat pasti memeriksa tahap hemoglobin anda.

Sekiranya tahap hemoglobin anda rendah daripada 11.5 G/DL atau di aras yang berkemungkinan akan terus turun serta tidak dirawat dari awal, ketahuilah kesannya bayi boleh dilahirkan awal (pramatang), berat yang rendah atau bayi pucat.

Risiko bagi diri anda mendedahkan kepada prosedur pemindahan darah. Hal ini perlu dilakukan bagi memastikan anda cukup darah. Selain itu, ada juga kes wanita hamil yang mengalami anemia cenderung mengalami masalah kemurungan selepas bersalin.

Tentu anda tidak mahu berlaku ke atas diri anda, bukan? Paling membimbangkan anemia juga menyumbang kepada kes yang mana rahim lambat mengecut selepas kelahiran. Keadaan ini dikenali sebagai ‘uterine atony’.

Punca utama anemia disebabkan kekurangan zat besi. Faktor lain termasuk pendarahan yang berlebihan, kerosakan sel darah merah secara berlebihan iaitu hemolisis atau pembentukan sel darah merah yang tidak berkesan iaitu hematopoiesis, pendarahan usus, kekurangan vitamin B12, kekurangan asid folik, gangguan fungsi sumsum tulang atau disebabkan menghidap penyakit kronik tertentu seperti kanser dan HIV/AIDS. Semua masalah ini boleh mempengaruhi penghasilan sel darah merah seseorang.

SEL darah merah.
SEL darah merah.

Diet sihat, dengan kandungan nutrisi penting untuk menyokong kandungan dan menaikkan aras hemoglobin dalam darah, paling utama bagi proses kehamilan dan kelahiran yang selamat.

Makanan yang disarankan termasuk:

1. Daging merah

Berbanding daging putih daripada ayam atau burung, daging merah daripada haiwan seperti kambing, kerbau, dan lembu lebih kaya dengan protein dan mengandung banyak zat besi serta mineral lain seperti vitamin A, D, K, B2, B3, B6 dan B12, asid amino, Omega-3, dan selenium yang diperlukan ibu hamil. Semua mineral ini meningkatkan hemoglobin dengan cepat.

2. Telur

Telur mengandung protein, kalsium, dan vitamin serta zat besi yang penting ketika hamil.

3. Produk tenusu

Sewaktu mengandung, anda perlu ambil protein dan kalsium tambahan untuk memenuhi keperluan janin yang semakin meningkat. Susu sumber makanan terbaik kalsium dan menyediakan jumlah fosforus, vitamin B, magnesium dan zink yang boleh menyokong penyerapan zat besi yang optimum. Antaranya ialah keju, yogurt, mentega dan susu.

Namun, susu juga menjejaskan daya penyerapan zat besi. Walaupun ia sumber kalsium yang baik untuk kesihatan kehamilan anda, jarakkan pengambilannya sekurang-kurangnya dua jam selepas memakan pil zat besi.

4. Sayur berdaun hijau

Sayur-sayuran yang tinggi kandung zat besi adalah sayur berdaun hijau terutama bayam. Selain itu, brokoli, kangkung, pegaga, pucuk paku, kailan dan sawi juga amat membantu ibu hamil mengelakkan anemia. Selain itu, sayur hijau mempunyai kandungan asid folik membantu pertingkatkan kesihatan ibu hamil.

5. Kekacang dan bijirin

Kekacang berasaskan sumber tumbuh-tumbuhan sangat kaya dengan protein, besi, folat (B9) dan kalsium yang sangat diperlukan ketika mengandung. Folat adalah antara vitamin B (B9). Ia sangat penting untuk kesihatan ibu dan janin terutama pada trimester pertama. Antaranya ialah walnut, badam, gajus, pistachio, kacang panjang, buncis dan kacang botol. (Pastikan anda tidak alah terhadap bijirin tertentu sebelum memakannya).

6. Buah-buahan

Buah-buahan yang kaya dengan vitamin C perlu diambil dalam kadar berpatutan seperti jambu batu, oren dan buah kiwi kerana ia boleh menolong tubuh mempertingkatkan penyerapan zat besi. Jambu batu sangat kaya dengan vitamin C iaitu dua kali kandungan vitamin C berbanding oren.

7. Khasiat tambahan

disyorkan ketika hamil adalah seperti asid folik, zat besi, minyak ikan dan zink.

Dengan langkah pemantauan dan rawatan yang betul sejak awal kehamilan, anda berupaya melahirkan bayi dalam keadaan sihat tanpa perlu terbabit dalam komplikasi berkaitan masalah hemoglobin atau anemia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:00 AM