IBU hamil disaran tingkat pengambilan supaya tidak alami masalah anemia.
IBU hamil disaran tingkat pengambilan supaya tidak alami masalah anemia.
Susunan Yusliza Yakimir Abd Talib

Apabila seseorang wanita hamil, ada kemungkinan untuknya menghidap anemia yang disebabkan kekurangan zat besi. Dalam keadaan ini, wanita mungkin berasa cepat penat manakala bayi dalam kandungan ada kebarangkalian menjadi kecil dan dilahirkan sebelum waktunya.

Pakar Hematologi, Hospital Raja Perempuan Zainab II Kelantan, Dr Sinari Salleh berkata, semasa hamil badan wanita menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.

Katanya, sekiranya zat besi atau vitamin B12 dan folat tidak dibekalkan secukupnya, penghasilan darah merah mungkin tidak cukup untuk keperluan. Bila usia kandungan semakin meningkat, isipadu darah juga bertambah dan ini menyebabkan pencairan darah berlaku.

“Walaupun sel darah merah makin bertambah, namun penghasilan plasma darah lagi bertambah dan menyebabkan keadaan yang dipanggil anemia relatif atau fisiologi. Seseorang itu dikatakan mengalami masalah anemia apabila tahap hemoglobin kurang dari 11 g/dl semasa trimester pertama, 10.5 g/dl semasa trimester kedua dan 10 g/dl dalam trimester ketiga.

“Terdapat 75 hingga 95 peratus wanita hamil mengalami masalah anemia disebabkan kekurangan zat besi. Wanita yang hamil sentiasa mengalami kekurangan zat besi untuk menampung keperluan semasa mengandung. Justeru, mereka disarankan agar mening­katkan pengambilan zat besi dalam diet harian,” katanya.

Semua wanita hamil berisiko mengalami masalah anemia. Ini kerana mereka perlukan lebih zat besi dan asid folik berbanding biasa. Namun risikonya lebih tinggi jika anda:

- Hamil anak kembar

- Kerap hamil dan jarak antara dua kehamilan adalah dekat

- Banyak muntah kerana mabuk hamil sehingga tidak lalu makan

- Hamil pada usia terlalu muda (remaja)

- Tidak mengambil cukup makanan yang kaya zat besi

- Sudah mengalami anemia sebelum hamil

Pemeriksaan darah perlu dijalankan secara rutin semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Antara gejala anemia adalah letih, tidak bermaya, sakit kepala, pening, berdebar-debar dan sesak nafas.

Menurutnya, selain itu masalah anemia yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pra matang, kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran. Kesan pada bayi pula boleh menyebabkan tumbesaran terbantut, kerencatan perkembangan akal dan psikomotor.

Rawatan zat besi secara rutin disarankan dalam program penjagaan ibu mengandung. Sekiranya, ibu mengandung tidak dapat mengambil zat besi dengan cara biasa, maka disarankan mereka mendapatkan suntikan zat besi yang dilakukan di klinik atau hospital. Ada beberapa jenis penyediaan suntikan zat besi dan wanita tidak perlu bimbang kerana doktor akan berbincang dengan pesakit sebelum sebarang terpai diberikan.

Menurut Dr Sunari, kekurangan vitamin B dan folat lebih jarang ditemui berbanding kekurangan zat besi. Bagaimanapun, pemberian folat disarankan semua ibu mengandung untuk mengurangkan risiko kecacatan saraf tunjang pada bayi.

Kekurangan vitamin ini menyebabkan anemia ‘non-pernicious megaloblastic’ dengan MCV lebih dari 100 fL. Sekiranya anemia yang berlaku kerana kekurangan ketiga-tiga zat ini, zat besi, folat dan B12, MCV menunjukkan bacaan yang normal (normocytic anaemia). Sekiranya pesakit mempunyai paras folat yang rendah, beliau perlu mengambil dos yang lebih tinggi.

Katanya, pesakit yang mengalami kekurangan vitamin B12 memerlukan siasatan lanjut untuk memastikan tahap faktor intrinsik (yang diperlukan untuk penyerapan vitamin B12). Keadaan di mana berlakunya kekurangan faktor intrinsik ini dipanggil ‘pernicious anaemia’. Tetapi setengah ujian seperti ujian Schilling hanya dapat dijalankan selepas kelahiran bayi kerana ia membabitkan penggunaan bahan radioaktif.

Anemia kerana jangkitan pula sering berlaku di negara bukan industri. Antara jangkitan yang boleh menyebabkan anemia adalah HIV, malaria, cacing, hepatitis dan TB (tuberkulosis). Sekiranya sejarah pesakit menunjukkan terdapatnya pendedahan kepada jangkitan ini, maka perlu dijalankan siasatan yang berpatutan.

Sementara anemia ‘Diamond-Blackfan’ dan penyakit sel sabit jarang dijumpai dalam kalangan wanita Malaysia. Bagaimanapun, dengan bertambahnya rakyat dari Afrika yang bermastautin di Malaysia, maka tidak mustahil berlaku peningkatan anemia sel sabit ini.

“Pemindahan darah mung­kin perlu dilakukan sekiranya berlaku anemia yang teruk dalam kalangan wanita mengandung yang hampir bersalin. Tahap haemoglobin yang perlu untuk pemindahan darah mungkin lebih rendah dalam kalangan mereka yang mempunyai anemia kronik berbanding mereka yang mengalami hemolisis akut.

“Agak sukar untuk memberi paras haemoglobulin yang sesuai bagi pemindahan darah, tetapi perlu memberi darah kepada wanita mengandung 34 minggu ke atas yang mempunyai haemoglobin kurang dari 7g/dl. Anemia yang teruk mesti dirawat sebelum kelahiran bayi untuk mengelakkan komplikasi yang berpunca akibat pendarahan semasa kelahiran.

“Justeru, wanita mengandung disarankan supaya datang mengikut jadual seperti yang disediakan di klinik ibu mengandung. Ini sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak,” katanya.

Faktor makanan

Doktor mungkin mencadangkan wanita hamil me­ngambil beberapa jenis makanan seperti daging, telur dan produk tenusu bagi membantu mengatasi masalah ini.

Antara langkah yang boleh diambil bagi mencegah anemia ialah memastikan diet anda cukup zat besi. Ambil sajian seimbang dan menambah beberapa jenis makanan yang kaya zat besi.

Sasarkan untuk makan sekurang-kurangnya tiga hidangan kaya zat besi seperti daging tanpa lemak, ayam, ikan, sayur-sayuran berdaun hijau (contohnya brokoli dan bayam), bijirin yang diperkaya zat besi, kekacang, tauhu dan telur.

Selain itu makanan yang kaya vitamin C boleh membantu badan anda menyerap lebih banyak zat besi. Antara makanan itu adalah buah-buahan sitrus, jus buah, strawberi, kiwi, tomato dan lada benggala.

Pada masa sama, jangan lupakan makanan yang kaya asid folik untuk mencegah kekurangannya. Ini termasuklah sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan sitrus, jus buah, kekacang dan bijirin atau roti yang diperkaya dengan folat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 1:22 PM