INOVASI rangkaian TP-Link menghubungkan  semua perkakasan di rumah.
INOVASI rangkaian TP-Link menghubungkan semua perkakasan di rumah.
TELEFON kini mampu jadi alat kawalan.
TELEFON kini mampu jadi alat kawalan.
DELEGASI seluruh dunia melihat kemajuan produk TP-Link.
DELEGASI seluruh dunia melihat kemajuan produk TP-Link.
Afiq Hanif


Apabila sebuah syarikat mempunyai keupayaan dalam pembangunan produk membabitkan teknologi maklumat (IT), langkah terbaik mengembangkan operasinya tidak tertumpu kepada hanya satu produk semata-mata.

Menyedari betapa pentingnya IT sebagai gaya hidup keseluruhan penduduk dunia yang bergantung harap kepada segmen terbabit, TP-Link memajukan tapak perniagaannya dengan membebaskan diri mereka jauh dari kelompok segmen 'niche' semata-mata.

TP-Link, pembekal nombor satu di dunia bagi produk rangkaian WiFi dengan penguasaan pasaran mencecah 46 peratus, mendedahkan visi canggih bagi Internet untuk segalanya (IoT) dengan pelancaran rasmi jenama Neffos dan telefon pintar siri terkini Neffos, X1 dan X1 Max.

Misinya mudah, berlandaskan tema ‘dekat dengan anda’ yang mencerminkan fasa baru dalam transformasi TP-Link untuk berkembang di luar rangkaian untuk teknologi pintar menyediakan pengguna bukan saja ‘router’ Wi-Fi boleh dipercayai tetapi kehidupan lebih pintar apabila segala-galanya boleh disambungkan melalui ekosistem rumah pintar.

Pengasas Bersama dan Pengerusi TP-Link Jeffrey Chao menyedari keperluan syarikat tidak hanya bergantung kepada router semata-mata tanpa ekosistem menyeluruh termasuk pengenalan telefon pintar.

“Lebih 20 tahun memasuki industri rangkaian, ia perlu diperluaskan dan bersifat menyeluruh,” katanya menjelaskan kehadiran TP-Link dalam industri telefon pintar yang disifatkan semakin sempit.

Katanya, masih ada ruang untuk TP-Link melalui Neffos untuk bertapak dalam segmen terbabit terutama membabitkan telefon peringkat pertengahan.

“Ruang dalam industri telefon pintar masih banyak dan kami datang dengan konsep menyeluruh IoT,” katanya.

Beliau turut menjanjikan pengenalan telefon pintar premium daripada Neffos dalam masa terdekat selepas kejayaan produk peringkat permulaan dan pertengahan.

“Dalam IoT empat teras pelan hala tuju syarikat termasuk router IoT sebagai peranti dan hab maklumat, telefon pintar sebagai antaramuka utama antara orang ramai dan peranti, perkhidmatan ‘cloud’ sebagai platform perkhidmatan ini bersama pelbagai produk penyelesaian rumah pintar,” katanya.

Menurutnya, sebagai tumpuan utama ekosistem rumah pintar TP-Link, telefon pintar Neffos akan membawa rakyat lebih dekat dengan segala-galanya dan individu di sekeliling mereka.

TP-Link juga mempunyai aplikasi platform IoT, Kasa yang pengguna boleh mengawal peranti rumah pintar mereka dari jauh dan mudah.

Neffos memperkenalkan dua telefon pintar terbaru, X1 dan X1 Max masing-masing bersaiz 5.0 inci dan 5.5 inci dengan pemprosesan MediaTek Helio P10 yang menjadikan operasi telefon lebih pantas serta menjimatkan bateri.

Kedua-duanya membolehkan anda menggunakan telefon untuk pelbagai keperluan seperti bekerja, bermain game, melayari laman web dan bersosial.

X1 Max menggunakan teknologi pengecas pantas dengan 30 minit untuk cas sebanyak 50 peratus.

Bagi X1, ia mempunyai pilihan RAM 2GB atau 3GB manakala X1 Max 3GB atau 4GB.

Bagi bateri pula, X1 mempunyai bateri berkapasiti 2250mAh manakala X1 Max pula berkapasiti 3000mAh.

Neffos X1 berharga kira-kira RM899 manakala X1 Max pula kira-kira RM1,129.

Jika dilihat pada RAM sebanyak 4GB dan storan 64GB mungkin tidak dapat diperoleh dengan harga di atas ditambah pula kelengkapan pengimbas cap jari yang pantas iaitu kurang 0.2 saat.

Kamera pula lain ceritanya, Neffos bekerjasama dengan Sony dalam menghasilkan kamera 13 megapiksel dengan lensa jenis 5P dan PDAF yang merakam imej sepantas 0.2 saat meskipun dalam keadaan objek sedang bergerak pantas.

Lensa jenis f/2.0 ini juga merakam imej dengan terperinci walaupun anda mungkin berada dalam persekitaran yang agak gelap.

Neffos sendiri memperkenalkan

fungsi Real-Time Night Shooting dalam menjadikan rakaman dalam gelap lebih baik dengan memasukkan sebanyak mungkin cahaya untuk memperincikan gambar. Kamera depan pula, 5.0 megapiksel dan bersedia untuk rakaman selfie.

Rekaan Neffos juga boleh tahan. Memegang di tangan lebih selesa dengan lengkung di sisi pada bahagian belakang memang cantik.

Rekaan ergonomik itu sangat penting kepada pengguna dan tahap kenipisan pula 7.75mm untuk X1 Max dan 7.95 bagi X1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 6:53 AM