SYAHIRAH (kiri) tidak ketinggalan mencuba beberapa permainan di pusat Kid’s World yang terletak di tingkat dua hotel.
SYAHIRAH (kiri) tidak ketinggalan mencuba beberapa permainan di pusat Kid’s World yang terletak di tingkat dua hotel.
PENGURUS Besar Lexis Hibiscus, Chan Hon Ming (berdiri) beramah mesra dengan Syahirah.
PENGURUS Besar Lexis Hibiscus, Chan Hon Ming (berdiri) beramah mesra dengan Syahirah.
ANTARA kakitangan Lexis Hibiscus, sukarelawan Make-A-Wish dan keluarga yang membantu merealisasikan impian Syahirah.
ANTARA kakitangan Lexis Hibiscus, sukarelawan Make-A-Wish dan keluarga yang membantu merealisasikan impian Syahirah.
Nor Faizah Mohamed


Ringkas saja permintaannya. Ingin bermain dan bermalam di resort berhampiran pantai serta mempunyai komputer riba sendiri untuk membolehkannya belajar di rumah.

Untuk kanak-kanak seusianya, ia bukanlah perkara mustahil tambahan majoriti didedahkan dengan penggunaan telefon pintar dan gajet.

Namun bagi Syahirah Nisrina Arman, keupayaan berdiri dan berjalan sebelum mampu ke sekolah disifatkan pencapaian terbaik sejak dirinya disahkan mengalami barah limfoma Burkitt tahap tiga, hujung tahun lalu.

Justeru kala impiannya direalisasikan menerusi Yayasan Make-A-Wish Malaysia dengan kerjasama Hotel Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan pada cuti Hari Kebangsaan minggu lalu, Syahirah berazam untuk kembali pulih.

“Kalau boleh saya nak cepat sihat. Apabila sudah sihat, boleh datang sini lagi. Nak main di kolam renang ini puas-puas,” katanya ceria sambil tangan ligat menulis namanya serta nama ibu bapanya di buku nota penulis.

Selain berpeluang bermalam di bilik yang dilengkapi kolam renang dengan pemandangan menghadap laut Selat Melaka, Syahirah disajikan menu khas bagi menepati keperluan dietnya yang disediakan barisan cef Lexis Hibiscus.

Disebabkan penyakitnya itu, Syahirah tidak boleh mengambil makanan berasaskan daging seperti lembu dan kambing di samping makanan laut, kekacang juga tenusu.

Komputer riba pula disumbangkan Yayasan Make-A-Wish menerusi beberapa sukarelawannya yang turut memeriahkan aktiviti itu.

Yayasan Make-A-Wish diwujudkan bagi membantu merealisasikan impian kanak-kanak yang mengalami penyakit kronik menerusi sumbangan dana daripada badan korporat dan orang persendirian.

Dalam sebulan, antara tiga hingga empat impian cuba ditunaikan dan pasukan Make-A-Wish dibahagikan sekurang-kurangnya dua pasukan bagi melicinkan program.

Bengkak, beguk dan barah

Mengimbau kembali keadaan Syahirah ketika disahkan mengalami barah, semuanya bermula daripada bengkak di leher selepas selesai menduduki peperiksaan hujung tahun pada November 2015.

Ibu dan bapanya, Shazura Sapingi serta Arman Muridan mulanya menjangkakan ia bengkak seperti beguk yang biasa dialami kanak-kanak.

“Kami bawa ke klinik dan didapati mengalami masalah kelenjar. Tiada rawatan khusus cuma dibekalkan ubat.

“Tetapi suhu badannya naik mendadak dan dalam tempoh dua minggu berat badannya turun sehingga lapan kilogram.

Kaki dan tangannya juga tidak boleh diangkat hingga perlu dipapah. Syahirah kemudian dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban kerana bengkak yang makin teruk hingga melarat ke muka dan seluruh tubuh.

“Diagnosis awal menunjukkan Syahirah mengalami barah darah lalu kesnya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Empat giginya terpaksa dicabut kerana impak bengkak itu dan diagnosis seterusnya menunjukkan Syahirah mempunyai simptom barah mulut serta kelenjar.

“Selepas beberapa ujian di HKL, barulah doktor pakar mengesahkan dia menghidap barah limfoma Burkitt tahap ketiga,” jelas Shazura.

Bermulalah rentetan sembilan peringkat rawatan kemoterapi yang perlu diharungi anak sulung daripada empat beradik ini antara hujung November 2015 hingga awal bulan lalu.

Selain Syahirah yang bergelut memerangi penyakit itu, keadaan emosi dan fizikal keluarganya turut terjejas.

Bapanya yang bekerja di bidang swasta nekad berhenti kerja demi memberi perhatian penuh kepada pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Dato Shahbandar Abu Bakar, Labu Hilir, Negeri Sembilan itu.

“Ia tempoh paling rumit dan menyeksakan bagi saya dan isteri. Adik-beradiknya masih kecil jadi mereka belum faham dengan apa yang berlaku.

“Faktor kewangan sememangnya menjadi isu utama kerana rawatan untuk penyakit ini perlukan kos tinggi.

“Setiap sesi kemoterapi memerlukan sekurang-kurangnya RM500 dan itu belum lagi diambil kira kos ubatan serta keperluan lain.

“Alhamdulillah syukur dengan bantuan yang kami terima. Kebanyakannya daripada keluarga, rakan, majikan dan masyarakat sekeliling, selain ahli jawatankuasa penduduk di kawasan rumah kami.

“Selain itu, dia tidak boleh dijaga secara sembarangan. Pernah juga kami hantarkan ke pusat jagaan buat sementara apabila masing-masing bekerja tapi dia kemudian mengalami masalah paru-paru.

“Dengan keadaan kesihatannya seperti ini, dia mudah terkena jangkitan penyakit daripada orang lain terutama selesema dan demam.

“Jadi saya ambil keputusan letak jawatan dan hanya isteri yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Labu.

“Saya rela berkorban demi kesihatan dan masa depan Syahirah. Keluarga dan rakan juga amat memahami serta banyak membantu kami dari pelbagai segi,” ujar Arman.

Tambahnya, komunikasi yang baik dengan doktor juga penting bagi membolehkan proses rawatan dan pemulihan anaknya berjalan lancar.

“Sejak Syahirah disahkan barah, ramai yang memberi tip, pandangan dan komen. Semuanya kami terima dengan baik tetapi tidak mengikut sepenuhnya apa yang disarankan.

“Setiap bulan air tulang belakang Syahirah diambil. Sebelum itu ada yang mencegah kami daripada membenarkan pihak hospital mengambil air tulang belakangnya kerana dikatakan boleh menyebabkan lumpuh.

“Tapi saya lebih suka merujuk kepada doktor kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk anak saya.

“Mungkin itu satu tip yang boleh saya kongsi dengan ibu bapa lain iaitu jangan membuta tuli melakukan sesuatu disebabkan cakap orang lain dan sentiasa rujuk dengan doktor. Itu penting.

“Selepas semua usaha kita sudah lakukan, berdoa tanpa henti dan sentiasa tawakal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 5:44 AM