Hafiz dan isterinya.
Hafiz dan isterinya.
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Penyanyi Hafiz Suip tidak menggalakkan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah terbabit dalam bidang seni.

Hafiz berkata, selepas tujuh tahun dalam bidang seni dia sudah melalui pelbagai gosip dan kontroversi.

"Ia perjalanan yang tidak mudah. Jadi kerana itulah saya mahu isteri memikirkan baik-baik keputusannya untuk menyertai bidang ini.

"Apabila sudah berada dalam bidang ini mental dan fizikal harus kuat jika tidak susah untuk bertahan lama. Seperti yang berlaku baru-baru ini ada peminat yang mengutuk penampilan isteri di laman Instagram saya di mana dia suka memakai cermin mata gelap.

"Walaupun geram dengan kata-kata peminat itu dalam masa sama terasa lucu pula," katanya.

Melihat kejadian itu, Hafiz berkata, isterinya sedih dan terkilan kerana begitu kasar teguran peminat.

Bagaimanapun, itulah perkara yang harus dihadapi apabila sudah berada dalam bidang ini.

"Saya beritahu kepada isteri itu baru sedikit, belum lagi kontroversi atau cerita yang lebih panas lagi," katanya.

Hafiz berkata, setakat ini ada beberapa tawaran dalam bidang peragaan buat isterinya namun masih dalam pertimbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 10:20 PM