PESERTA gembira dengan kek buah kukus yang dihasilkan mereka.
PESERTA gembira dengan kek buah kukus yang dihasilkan mereka.

Haruman semerbak adunan kek buah yang sudah siap dikukus menusuk hidung. Sebaik saja diangkat dari loyangnya terserlah kegebuannya disulami rona kuning keemasan pada bahagian dalam apabila dipotong. Kek kukus yang enak bukan saja pada rasanya, tetapi juga kadar kelembapan tinggi yang terhasil apabila kek dikukus selama empat jam.

Inilah yang menjadikan kek buah kukus begitu istimewa kerana mengambil tempoh yang lama untuk dimasak. Malah, tidak ramai yang sanggup menghadapi cabaran sekiranya kek dihasilkan kurang manis, tidak naik atau kering.

“Jika diikutkan kek buah kukus menggunakan bahan yang mudah disediakan. Namun setiap orang ada teknik membancuh adunan dan cara memasak tersendiri. Sebab itu ketika kali pertama memasaknya saya terpaksa melakukan berkali-kali bagi mendapatkan kek yang kekal lembap dan enak,” ujar pengusaha Imaleen Bites, Norehan Harun yang mengadakan kelas memasak kek buah kukus di kediamannya di Kajang, baru-baru ini.

Mengadakan kelas dalam kumpulan kecil bagi memberikan lebih tumpuan kepada peserta, pada mulanya dia hanya memasak kek buah kukus untuk hidangan seisi keluarga dan rakan terdekat. Namun selepas merasa kek buah kukus yang dihasilkannya, ramai memberikan maklum balas positif dan meminta Norehan mengadakan kelas secara perseorangan.

“Saya memang suka memasak dan juga penggemar kek. Oleh kerana ingin mendapatkan teknik memasak yang betul, saya menghadiri kelas membuat kek buah kukus. Namun tidak semua yang saya pelajari saya gunakan dalam resipi. Saya menukarnya hampir tiga kali bagi mendapatkan rasa yang enak, kek yang kekal lembap dan tahan lama,” katanya.

Dua bulan menjelang Aidilfitri lalu, dia mula mengambil tempahan kek. Tidak sangka sambutan diterima amat menggalakkan. Ini menyebabkan Norehan yang juga pemilik pusat kecantikan dan salun rambut di Bandar Baru Bangi, berhasrat berkongsi kemahiran dengan wanita lain supaya mereka dapat menggunakan bakat memasak ini untuk berniaga atau dimakan sesama keluarga.

“Apabila ramai meminta saya mengadakan kelas membuat kek, saya berasakan mengapa tidak. Mungkin dengan cara ini saya dapat membantu wanita menambah pendapatan mereka selain membantu suami,” katanya yang mengadakan kelas pertama dengan peserta empat orang saja. Diikuti kelas kedua dengan tambahan peserta 17 orang yang diadakan di Pulau Pinang.

Tambahnya, peserta bukan saja usahawan, tetapi suri rumah dan golongan profesional termasuk pramugari, peguam dan doktor yang kebanyakannya belajar sekadar ingin menambah ilmu dalam bidang masakan.

Dilamar ke Melbourne

Tidak seperti kek moden yang lain, kek buah kukus masih mempunyai penggemarnya. Ini disebabkan ia kelihatan klasik dan masih kekal tradisi tanpa diubah resipi dan cara memasaknya. Cuma bezanya, Norehan menggunakan bahan premium serta teknik yang betul ketika membancuh adunan dan mengukus kek. Mungkin inilah yang membezakan kek buah kukus Imaleen Bites dengan kek lain di pasaran.

Walaupun mengakui ramai yang mampu menghasilkannya hanya dengan mengikut resipi, ia belum tentu berhasil. Menghadiri kelas adalah untuk mengetahui teknik membancuh adunan, mengukus dan mengangkatnya. Inilah rahsia yang menjadikan kek buah kukus itu ‘menjadi’ atau sebaliknya. Melangkah setapak lagi bagi memperkenalkan kek buah kukus ke Melbourne Australia, ini peluang keemasan yang ditunggu-tunggu selama ini.

Ia bermula apabila kek buah kukus dijadikan cenderahati dalam majlis perkahwinan. Berminat dengan rasanya yang enak, lain daripada yang lain serta pembungkusan yang unik, Norehan dilamar bagi memasarkan keknya ke sana.

“Lamaran ini tidak akan saya lepaskan kerana bukan mudah memasuki pasaran di sana. Insya-Allah semuanya masih dalam proses perancangan dengan Kedutaan Malaysia di sana dan berharap agar kek buah kukus diterima sebagai makanan halal utama di luar negara,” katanya.

Tidak mengenakan harga yang mahal, untuk kelas dalam kumpulan kecil (seramai empat orang) dengan bayaran RM150 manakala kelas biasa berharga RM120. Semua bahan disediakan penganjur. Untuk maklumat lanjut mengenai kelas boleh melayari Facebook Imaleen-Bites.

Pengusaha kafe, Norlena Abdul Rahman

“Saya sering mengikuti kelas membuat kek dan manisan sekadar menambah kemahiran. Sebelum ini, hanya kelas membuat kek seperti kek coklat, keju, dan manisan yang menjadi kegemaran ramai. Ini kali pertama saya menyertai kelas membuat kek buah kukus kerana merasakan kek ini jarang dihidangkan sedangkan ia mempunyai penggemar yang ramai,” kata Norlena yang mengusahakan kafe di Kampung Melayu Subang.

Mengetahui mengenai kelas daripada rakan, ujarnya, kek buah kukus berbeza dengan kek yang dipelajari sebelum ini. Norlena beranggapan ia sukar dihasilkan disebabkan perlu mengukus selama empat jam.

“Inilah cabarannya dan tidak ramai sanggup memasak sendiri. Tetapi selepas menghadiri kelas barulah saya tahu ia tidaklah sesukar mana. Apa yang penting bahan adunan dan teknik ketika membuatnya. Kalau tidak menghadiri kelas mungkin kita akan lakukan kesilapan yang sama. Akhirnya kek tidak menjadi dan kita akan bosan,” katanya yang sudah mempraktikkan di rumah sebaik tamat kelas.

Tidak mahu menunggu lama, sebaik pulang ke rumah keesokannya dia terus mencari bahan dan membuat kek buah kukus yang baru saja dipelajarinya.

“Memang benar rasanya sama seperti yang dipelajari di kelas. Dengan ilmu dan kemahiran ini dapatlah saya menyediakan kek buah kukus di kafe saya nanti,” katanya gembira. - Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 7:39 AM