Oleh Aida Adilah Mat


ANDA mencari sesuatu yang menarik? Kelas memasak mungkin boleh menjadi antara agenda dalam senarai untuk mengisi hujung minggu anak.

Keterujaan berjaya menyiapkan kek atau biskut dengan hasil usaha sendiri mampu menambah tahap keyakinan seorang kanak-kanak.

Ia mampu memberi aura positif dalam membentuk keberanian dalam diri si kecil kerana mereka perlu berani membuat adunan terbaik untuk menghasilkan makanan berkualiti.

Memasak juga menggalakkan mereka menjadi berani untuk berinteraksi sesama sendiri dalam suasana yang lebih menyeronokkan.

Inilah yang menggerakkan pemilik Beby Bakery & Cafe, Zukhria Agustani menganjurkan kelas memasak dan membakar khas untuk kanak-kanak seawal usia lima hingga 12 tahun sejak dua tahun lalu.

Mendapat pendidikan hingga ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Negeri Medan (UNIMED), Sumatera Utara Indonesia Zukhria berkata, selain menganjurkan kelas di kafenya yang terletak di Kondominium Putravilla, dia turut mengajar

di Indonesia sekiranya ada permintaan.

Ditanya mengapa dia lebih gemar menganjurkan kelas untuk kanak-kanak, Zukhria atau dikenali dengan panggilan Beby berkata, dia berasa puas apabila melihat kegembiraan di wajah anak-anak ini yang berjaya menghasilkan sesuatu yang menarik seperti kek cawan, kek coklat atau biskut pelbagai rupa.

ZUKHRIA bersama pelajar yang menghadiri  kelasnya.
ZUKHRIA bersama pelajar yang menghadiri kelasnya.

“Saya mempunyai ijazah dalam bidang masakan dan pengkhususan pembelajaran. Jadi memang saya gemar membuat kelas masakan untuk menurunkan ilmu kepada mereka yang berminat.

“Saya rasa puas apabila melihat mereka gembira dengan hasil kreativiti sendiri. Ada yang tidak sanggup hendak makan kek yang dibuat itu kerana sayang.

“Ada juga ibu bapa memberi maklum balas yang mengatakan anak mereka mahu memasak sendiri di rumah selepas menghadiri kelas dan itu juga membuatkan saya gembira kerana mereka mahu mempraktikkan apa yang dipelajari,” katanya.

Katanya, setiap kanak-kanak yang hadir ke kelas memasaknya akan membawa pulang hasil tangan mereka selain diberi sijil penghargaan.

Peserta yang menyertai kelas ini turut diberikan apron agar tampak bergaya ala cef cilik yang beradu tenaga menyediakan sajian masing-masing.

Kanak-kanak yang hadir turut diajar cara membancuh adunan kek, membakar, menghias kek selain membuat ‘topping’ menggunakan ‘royal ising’.

Berkahwin dengan bekas pelumba basikal negara, Wan Mohd Najmee Wan Mohamad, Zukhria berkata, kelas membakar atau memasak ini hanya dianjurkan pada waktu tertentu seperti cuti sekolah.

Selain dapat belajar sesuatu yang baharu, kelas seperti ini sebenarnya menambah tahap kreativiti kanak-kanak kerana mereka diberi peluang untuk menghias kek, biskut, coklat ataupun piza.

“Kebanyakan ibu bapa sekarang mencari aktiviti yang selamat buat anak-anak mereka. Setiap kali saya menganjurkan kelas sambutannya amat menggalakkan.

“Ini mungkin kerana selain kelas yang bermula pada sebelah pagi, kami turut menyediakan makanan tengah hari. Keselamatan dan keselesaan juga terjamin. Atas sebab itu, kelas seperti ini semakin mendapat perhatian ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 5:10 AM
KANAK-KANAK berumur antara 5 hingga 12 tahun tunjuk kreativiti memasak, membakar
KANAK-KANAK berumur antara 5 hingga 12 tahun tunjuk kreativiti memasak, membakar