DAYANG Mastura buka kedai selepas 6 tahun beroperasi di rumah. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
DAYANG Mastura buka kedai selepas 6 tahun beroperasi di rumah. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Intan Mas Ayu Shahimi

ANAK kelahiran Sarawak ini pernah berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah swasta di Shah Alam. Malah pernah juga berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Universiti KDU dan Universiti Putra Malaysia, Bintulu, Sarawak.

Dalam sibuk bekerja, dia seronok membuat kek lapis dan mencuba pelbagai resipi kek moden untuk santapan keluarga. Ada waktunya, dia sibuk memenuhi permintaan kawan sekerja yang menempah kek lapis hasil air tangannya.

Namun, tak lama kemudian, Dayang Mastura Pangiran Hamid, 46, mengambil keputusan berhenti kerja. Anak kelahiran Bintulu ini nekad menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan empat anak lelaki yang sedang membesar.

“Sejak bekerja lagi saya memang suka mencuba resipi kek dan pastri baru. Pantang ada waktu terluang, saya akan keluarkan peralatan membuat kek dan leka mengerjakan hobi ini di dapur.

“Hasilnya, saya jamu rakan dan juga beri kepada saudara. Ada rakan yang mencadangkan supaya saya membuka tempahan dan menjual kek lapis. Kebetulan ibu saya memang pandai membuat kek lapis secara tradisional. Jadi, saya gunakan bakat yang ada untuk menjual secara suka-suka.

“Saya gembira setiap kali kek dibuat menjadi. Tambahan ada rakan, saudara dan jiran dapat merasa. Sehinggalah saya berhenti kerja dan menjalani rutin sebagai suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Jelas Dayang Mastura, sepanjang tempoh berhenti kerja, dia hanya fokus membesarkan anak. Apabila semua anaknya pandai berdikari, barulah wanita ini mengatur rencana baru untuk memenuhi masa terluang.

“Kebetulan, suami kerja jauh di seberang laut. Jadi, banyak masa yang boleh diluangkan dengan aktiviti menarik. Saya mula mendaftar, mengikuti kelas pembuatan kek dan pastri sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

BERSAMA produk yang dihasilkan.
BERSAMA produk yang dihasilkan.

“Selepas mahir, saya ambil keputusan berniaga kek secara kecil-kecilan di laman Instagram. Alhamdulillah, sambutan memang menggalakkan. Saya mula seronok mencuba pelbagai resipi moden untuk dijadikan kek lapis.

“Melihat kesungguhan saya mengolah pelbagai resipi, seorang kawan mencadangkan supaya fokus hanya kepada kek lapis saja. Hampir enam tahun beroperasi di rumah, saya mendapat keyakinan untuk memiliki kedai.

“Tidak kira apa pun situasi, memiliki kedai bukanlah pertaruhan kecil dalam perniagaan. Namun, saya tetapkan pendirian kerana percaya pasti lebih ramai yang mahu membeli kek di kedai berbanding hanya di laman sosial,” katanya.

PERMULAAN BESAR

Adat memiliki premis sendiri, sudah tentu memerlukan pembantu untuk meringankan beban kerja di dapur. Memandangkan kerja membakar kek agak renyah, Dayang Mastura menggaji seorang pembantu.

“Lazimnya, sayalah yang membancuh adunan demi jaminan kualiti dan rasa sama bagi setiap pengeluaran kek. Pembantu hanya akan melapis kek dan menjalankan kerja pembungkusan.

“Di kedai, saya mula menjual kek lapis dan hasil pastri lain termasuk biskut. Bayangkan, dari sekadar hobi dan jualan secara suka-suka, saya jadi makin seronok apabila mengetahui kek yang dihasilkan dibawa terbang ke negara lain untuk dijadikan hadiah atau buah tangan.

“Dari situ, saya dapat idea untuk membuka kios dan mengukuhkan pelan perniagaan sedia ada. Saya buat kotak khusus untuk mengisi kek dan mula naik taraf pembungkusan kek supaya tampak lebih eksklusif,” katanya.

Usahanya membuahkan hasil. Selain menjadi tumpuan penggemar kek lapis dan pelancong untuk dibawa pulang sebagai buah tangan, dia juga mendapat tempahan daripada pasangan yang hendak melangsungkan perkahwinan, badan korporat dan golongan kenamaan.

“Mereka beli untuk dijadikan hantaran, cenderahati majlis dan hadiah korporat. Paling penting, ramai yang memuji keunikan rasanya. Selain mengekalkan resipi asli, banyak juga kek saya dihasilkan daripada olahan resipi kek moden.

“Semua resipi moden ini saya belajar ketika menghadiri kelas dulu. Jadi, terbuktilah apa yang kita belajar tidak pernah terhad untuk satu-satu kemahiran saja. Kalau ada tekad dan kreatif, tidak mustahil ilmu ‘seciput’ boleh dikembangkan seluas-luasnya.

“Untuk mengekalkan rasa kek, saya gunakan bahan premium seperti mentega Perancis dan coklat Belgium. Jadi, rasanya lebih enak dan mewah. Secara tidak langsung, ini menjadi tarikan kepada pembeli,” katanya.

DAYANG Mastura melapis kek di dapur.
DAYANG Mastura melapis kek di dapur.

CABARAN

Sekalipun perniagaannya lancar kini, Dayang Mastura tetap berdepan pelbagai ujian. Salah satunya adalah mendidik dan mengekalkan pekerja mahir yang sudah dilatih supaya tidak berhenti.

“Setakat ini saya sudah mempunyai 10 pekerja, termasuk yang menjaga dua kios dan membantu di dapur. Namun, majoriti mereka bekerja sekejap-sekejap kerana peluang kerja luas mengikut bidang yang mereka ingini.

“Selebihnya adalah cabaran mengurus kewangan. Ramai yang fikir berniaga kek tak mampu pergi jauh tapi saya mahu membuktikan sebaliknya. Pengurusan wang yang baik, berani meluaskan perniagaan, nekad dan usaha, semua ini perlu ada.

“Saya juga selalu ingatkan diri supaya jangan sesekali berhenti belajar. Ada ramai pengusaha kek lapis yang fikir bahawa kaedah tradisional yang mereka buat sudah cukup. Seeloknya, terokalah ruang yang ada dengan mencuba dan melakukan inovasi terhadap resipi kek moden. Pasti hasilnya berbaloi-baloi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 7:30 AM