SEBAIKNYA tunggu makanan sejuk sebelum dipindah ke dalam pek plastik.
SEBAIKNYA tunggu makanan sejuk sebelum dipindah ke dalam pek plastik.
Nurul Husna Mahmud

RAMAI sebenarnya mengambil mudah berkenaan penggunaan plastik terutama dalam pengendalian makanan.

Penulis sendiri tidak pernah terlepas melakukan kesilapan sama apabila pernah menggunakan plastik ais krim sebagai bungkusan kuah kacang yang panas kerana itu menyangkakan ia penyelesaian paling mudah.

Apabila Pengasas Magic Oven Cake, Faiza Mohammed Asari, 51, memuat naik perkongsian di Facebook mengenai kesan penggunaan material itu terutama dalam penyediaan makanan seperti kek kukus dan sosej di rumah, perkara itu wajar mendapat perhatian umum kerana berkait dengan aspek keselamatan makanan.

Menurut Faiza, dia terpanggil untuk berkongsi kerana menyedari penggunaan plastik meluas terutama dalam pembuatan kek dan pastri baik di peringkat peniaga kecil-kecilan sehinggalah perusahaan di kilang.

Kata Faiza, dia yang datang daripada keluarga memiliki perusahaan menghasilkan guni plastik di Melaka bagi pembungkusan baja, sedar akan bahaya sikap sambil lewa pengguna atau peniaga berkaitan penggunaan plastik terhadap makanan.

"Saya terpanggil untuk mengulas isu penggunaan plastik dalam membuat kek (baking) kerana saya lihat penggunaannya amat meluas hingga salah caranya.

FAIZA mahu lebih ramai peka dalam penggunaan plastik ketika memasak.
FAIZA mahu lebih ramai peka dalam penggunaan plastik ketika memasak.

FAIZA mempunyai minat dan bakat dalam bidang kek.
FAIZA mempunyai minat dan bakat dalam bidang kek.

"Kesalahan itu bukan sahaja membabitkan etika penggunaan bekas plastik semata-mata, malah ia boleh mendatangkan bahaya kepada pembuat dan pelanggan.

"Saya tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak tetapi atas rasa bertanggungjawab kerana lahir dari keluarga usahawan plastik dan juga seorang pembuat kek.

"Ramai yang menggunakan plastik dalam proses masakan. Antara contoh paling mudah dilihat ialah sosej 'homemade' menggunakan plastik aiskrim, kukus kek coklat lembap dan memanaskan makanan atau minuman menggunakan bekas plastik yang banyak terdapat di pasaran.

"Lebih membimbangkan lagi, apabila saya terbaca bekas SQ540 digunakan dalam ketuhar mikro gelombang untuk buat kek marble yang sebenarnya hanya sesuai sebagai pek bungkusan makanan," katanya.

Tambah Faiza lagi, sikap ambil mudah iaitu tidak peka dengan had penggunaan plastik tertentu boleh mendedahkan pengguna kepada bahaya bahan kimia dalam plastik seperti antimony (Sb) dan Bisphenol A (BPA).

Kedua-dua bahan kimia ini dikatakan boleh meresap ke dalam cecair di dalam bekasnya jika dibiarkan lama dalam suhu atau haba yang tinggi.

CHEF Danial menggunakan loyang untuk menghasilkan kek kukus.
CHEF Danial menggunakan loyang untuk menghasilkan kek kukus.

BPA juga boleh masuk ke dalam badan ialah dengan pelbagai cara. Antaranya menggunakan bekas ditinggalkan dalam keadaan panas melampau dan dibasuh berulang kali atau berubah menjadi lembut apabila dipanaskan.

"Ramai tahu mengenai penemuan kajian yang mendapati minum atau makanan tercemar dengan molekul kimia plastik boleh menyebabkan kanser.

"Namun sejauh mana yang kita betul-betul faham atau peduli, mungkin itu yang membezakan antara pembuat kek yang mula mengambil langkah untuk menukar bekas penyediaan kek mereka.

"Jika mereka ini terus menggunakan plastik untuk kerja-kerja memasak, pelanggan atau keluarga mereka berisiko terdedah kepada Sb.

"Sb ini sudah diklasifikasikan sebagai salah satu punca karsinogen iaitu penyebab kanser pada sel manusia oleh Agensi Antarabangsa Kajian untuk Kanser di Amerika Syarikat. Ia juga menjadi punca kepada peningkatan kadar kolesterol tinggi dan penurunan gula dalam darah.

TURUT berkongsi amalan penggunaan loyang lebih baik dalam menyediakan produk kek.
TURUT berkongsi amalan penggunaan loyang lebih baik dalam menyediakan produk kek.

"BPA ialah bahan utama yang digunakan dalam lapisan bekas plastik dan tin makanan pula dikatakan menjadi penyebab kecelaruan hormon. Kemampuan BPA dikatakan boleh menyerupai estrogen dengan mengeluarkan xenoestrogens (estrogen sintetik) dan ia melekat pada saraf penerima estrogen," katanya turut menasihati orang ramai merujuk label plastik atau bekas plastik bagi mengetahui penggunaan yang sesuai.

Selain Faiza, usahawan Kek Buah Kukus 4 Jam Klasik, Wan Danial Hadi Wan Abdul Rahman, 30, turut mengambil langkah drastik beralih kepada penggunaan loyang untuk penyediaan kek kukusnya.

"Bukan peniaga kecil sahaja malah pengusaha terkenal turut menggunakan bekas plastik kerana ia lebih mudah dan menjimatkan.

"Apabila plastik digunakan bagi kerja mengukus atau kaedah 'water bath bake,' kek tidak mudah melekat pada bekas dan mudah dikeluarkan.

"Malah kosnya lebih rendah kerana bekas plastik murah selain menjimatkan masa berbanding kerja mengukus atau membakar kek menggunakan loyang," katanya yang mesra disapa Chef Danial.

Menurutnya, banyak cabaran lain termasuk berdepan tugas yang remeh apabila peniaga kek sepertinya terpaksa menggunakan loyang.

"Walaupun tidak mudah untuk berubah kepada penggunaan loyang, tetapi saya sahut cabaran itu kerana fikirkan kesihatan dan keselamatan pelanggan.

"Kalau dulu hendak kukus kek 40 biji memadai dengan dua tenaga kerja, kini dengan penggunaan loyang khas, saya terpaksa mengupah seorang lagi pekerja bagi cuci loyang atau bantu keluarkan kek.

"Loyang perlu dikeluarkan sebelum sejuk bagi mengelak ia melekat. Kebaikan loyang pula selain menjamin keselamatan makanan dan kesihatan pelanggan, bentuk kek menjadi lebih tinggi serta tempoh kukus atau bakar lebih singkat.

ELAK memanaskan makanan dengan bekas plastik.
ELAK memanaskan makanan dengan bekas plastik.

"Meskipun tekstur selepas bakar lebih kering tetapi kualiti ketahanan kek buah dan rasanya lebih enak apabila disimpan lebih lama," katanya.

Beliau turut berkongsi perubahan dari penggunaan plastik kepada loyang dengan pembuat kek yang mengikuti kelasnya.

"Saya galakkan mereka tukar kerana ia memberi nilai tambah kepada peniagaan mereka. Pelanggan sekarang sudah bijak membezakan sesuatu yang baik untuk kesihatan mereka dan tidak kisah untuk berbelanja asalkan produk itu berkualiti dan sihat," katanya.

Berikut tip yang boleh diamalkan orang ramai membabitkan penggunaan plastik ketika mengendalikan makanan:

Mengurangkan penggunaan plastik. Di setiap barangan plastik, terdapat tanda tiga segi untuk kod kitaran semula di bawahnya. Jauhi nombor 3, 6 and 7. Plastik dengan nombor 7 mengandungi BPA kadar yang paling tinggi.

Kurangkan pengambilan makanan dalam tin. Gunakan bekas kaca untuk menyimpan makanan. Beri perhatian kepada penutup bekas kaca yang diperbuat daripada plastik sama ada mengandungi BPA atau sebaliknya.

Elakkan penggunaan bekas plastik untuk masak dalam ketuhar gelombang mikro meskipun ditulis 'microwave safe.' Haba tinggi melemahkan molekul kimia plastik dan melepaskannya ke dalam makanan dan minuman yang dipanaskan.

Elak menuang terus makanan atau minuman panas dalam bekas bungkusan plastik.

Elak guna semula plastik yang penggunaannya tunggal.

Bagi yang menggunakan bekas bebas BPA, itu bukan bermakna boleh dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro. Contoh produk ketupat dan lemang segera. Plastik ketupat dan lemang segera menggunakan plastik gred makanan tahan sehingga suhu 1,200 darjah Celsius.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:01 AM