MELIHAT pekerja menyiapkan kek coklat kukus untuk pasaran Kedai Mesra Petronas.
MELIHAT pekerja menyiapkan kek coklat kukus untuk pasaran Kedai Mesra Petronas.
MELIHAT pekerja menyiapkan kek coklat kukus untuk pasaran Kedai Mesra Petronas.
MELIHAT pekerja menyiapkan kek coklat kukus untuk pasaran Kedai Mesra Petronas.
SOPHIAHANIS bersama Junaidy yang menjadi tulang belakang Anis Chocolate Melt selama ini.
SOPHIAHANIS bersama Junaidy yang menjadi tulang belakang Anis Chocolate Melt selama ini.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Empat tahun lalu berbekalkan satu periuk pengukus berharga RM30 dan modal RM2,000, wanita ini memulakan perniagaan kek coklat kukus di rumah. Sedikit demi sedikit dia membina nama, mengharungi pelbagai cabaran dengan penuh semangat.

Kini dia mampu tersenyum puas apabila susah senang memperkenalkan jenama Anis Choc Moist Cake berbaloi apabila kek coklat yang dihasilkannya mula dikenali ramai dan boleh didapati di 700 kedai Mesra Petronas seluruh negara, 7- Eleven dan pasar raya besar Tesco, Giant dan Mydin.

Bermula dengan hanya di rumah, perniagaan yang diusahakan bersama suami, Junaidy Abu Bakar, 42, kini beroperasi di kilang di Shah Alam, Selangor.

Melihat sendiri penghasilan kek coklat kukus yang beroperasi di Bukit Jelutong, Shah Alam, sememangnya ia dihasilkan dengan penuh teliti dan dijaga tahap kebersihannya.

Jelas pemilik Anis Choc Moist Cake, Sophiahanis Md Hanipah, 41, yang mesra disapa Anis, bagi menghasilkan kek coklat berkualiti dan disukai ramai, ia bukan sekadar luaran, tetapi rasa, keenakan sehingga pembungkusan diambil kira.

Sebagai usahawan Melayu yang mencipta nama menerusi perniagaan kek coklat kukus, Anis menjelaskan, kek coklat yang dihasilkan bukan sekadar kek, tetapi ada elemen cinta, kasih sayang dan kesetiaan yang mengikat kejayaan selama ini sesuai dengan tanda pengenalan Anis Chocolate Melt ‘Made From The Heart’.

Cinta kerana ia dihasilkan setulus hati bersama tekad ingin menambah nilai hidup orang lain manakala setia kerana kek ini mampu mengikat pelanggan untuk terus menikmatinya disebabkan rasa, keenakan dan kualiti yang diberikan kepada pelanggan.

Bermula pada 2010, dia yang minat berniaga mula menjalankan pelbagai perniagaan secara sambilan. Namun, semuanya tidak menjadi disebabkan masih terikat dengan pekerjaan tetap di sebuah syarikat pengeluar minyak terkenal negara.

Selepas mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS), Anis mula menyertai syarikat jualan langsung, namun wang RM40,000 yang dilaburkan habis begitu saja sehinggalah pada suatu hari dia mengunjungi stesen minyak dan melihat ada kek coklat kegemarannya dijual di situ.

“Tanpa berlengah saya terus menghubungi pemilik kek untuk mendapatkan keknya untuk dijual di booth. Namun, penjualan kek tidak berbaloi malah sangat memenatkan kerana setiap hari saya perlu berada di kawasan tertentu untuk menjual kek. Lama-kelamaan saya terfikir mengapa tidak menghasilkan kek sendiri di rumah,” katanya.

Menerusi resipi yang diambil di Internet, Anis menghasilkan kek coklat yang dibakar dan dihantar ke kedai, namun kek coklatnya tidak habis dijual. Dia mula mencari kekurangan pada kek sehingga bertemu dengan seorang pembuat kek yang sama-sama menghadiri kelas memasak.

“Wanita itu membawa kek coklat yang dihasilkannya sendiri dan sangat sedap. Saya memberanikan diri meminta resipi daripadanya.

“Alhamdulillah wanita itu memberikan resipi asal menerusi e-mel dan saya terus mencuba,” katanya yang mula membuat kek mengikut resipi yang diberikan wanita itu.

Oleh kerana tiada ilmu mengenai teknik pemasaran, Anis hanya menjual kek di kilang sekitar Kuala Lumpur, namun ia sangat memenatkan dan hasilnya tidak seberapa. Dia mula mencari kaedah lain untuk memasarkan keknya supaya dapat menembusi pasaran tempatan dan akhirnya menerusi pertolongan rakan, Anis berjaya meletakkan keknya dalam Kedai Mesra Petronas.

Apabila kontrak di sebuah kedai mesra itu dibatalkan disebabkan keknya berkulat, ia benar-benar memberikan pengalaman berharga kepada Anis supaya mencari sebanyak mana ilmu dalam perniagaan kek. Dari situ, dia belajar banyak perkara. Perniagaan bukan sekadar menjual produk, tetapi perlu mengambil tahu mengenai pelanggan.

“Saya mula belajar bagaimana menjadikan kek tahan lama dan mendapat­kan maklum balas pelanggan mengenai kek yang saya hasilkan,” katanya.

Lalui pahit getir dalam perniagaan

Namun langit tidak selalunya cerah apabila dia terpaksa melalui saat getir kemerosotan jualan kek yang menyebabkan rumahnya dilelong dan dia terpaksa berpindah ke kawasan perumahan lain.

Bagaimanapun, Anis tidak mahu menyerah kalah. Baginya, keadaan ini menambah semangat untuk memulakan kehidupan baru yang lebih positif. Apa yang dilakukannya adalah menukar corak pemikiran 100 peratus termasuk juga sikap untuk menjadi lebih berjaya selain tidak lupa menjaga hubungan dengan Allah, suami dan keluarga.

Sedikit demi sedikit perniagaan kek yang diusahakan mula menampakkan hasilnya. Daripada hanya beberapa stesen minyak saja, ia mula bertambah menjadi 300 dengan 200 pek kek coklat perlu disiapkan setiap hari.

“Ketika itu rumah sudah seperti kilang. Saya berasakan inilah masanya mencari kedai supaya dapat menjalankan operasi membuat kek di sana. Alhamdulillah kami berjaya membuka kedai pada 2010 dan akhirnya kedai itu kini digunakan untuk menjual produk usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) manakala operasi pengeluaran ditempatkan di kilang di Shah Alam dengan pekerja seramai 50 orang,” katanya.

Jelas wanita kelahiran Pulau Pinang ini, ilmu yang diperoleh ketika menyertai kursus pemasaran benar-benar membantu dirinya menjadi seperti sekarang. Selepas menyertai kursus itu, ia merubah persepsi Anis mengenai perniagaan yang tujuannya bukan untuk menjadi kaya semata-mata, tetapi menambah nilai hidup orang lain dan membantu mereka berjaya dalam perniagaan.

“Sebab itu kami membina sistem ejen dan stokis supaya dapat sama-sama membantu usahawan lain berniaga. Setakat ini, Anis Choc Moist Cake mempunyai 100 ejen seluruh Malaysia dan sudah memasuki 700 Kedai Mesra Petronas, 7-Eleven di sekitar Lembah Klang, 200 lebih outlet di seluruh negara serta sudah memasuki pasaran Indonesia dan Brunei,” katanya tersenyum gembira.

Memasuki tahun mendatang yang serba mencabar, Anis komited ingin membawa jenama keknya ke seluruh dunia menerusi kedai 7-Eleven yang terdapat di setiap negara. Dengan cara ini saja dia mampu menambah nilai kehidupan orang lain supaya mereka bersama-sama dapat meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing.

Selain kek coklat kukus, Anis Choc Moist Cake turut mengeluarkan tat nanas dan Anis Coffee yang sudah memasuki pasaran Malaysia. Menerusi Anis Coffee ia membuka peluang kepada sesiapa saja yang ingin menjalin perniagaan bersama di bawah Anis Food Sdn Bhd.

“Bagi saya, apa yang dilakukan kini bukanlah niat untuk menjadi kaya semata-mata, tetapi untuk membantu orang ramai meningkatkan taraf hidup, pada masa sama nilai hidup mereka menjadi bertambah baik. Saya gembira Anis Choc Cake dapat melahirkan lebih ramai usahawan Melayu berjaya,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 12:04 PM