GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Shah Alam: Kerajaan Selangor menubuhkan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis) bagi memenuhi keperluan anak istimewa di negeri itu dengan menyediakan perkhidmatan yang mampu diakses oleh golongan berkenaan.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, antara perkhidmatan disediakan ialah memantau modul dan kurikulum yang akan digunakan, memberi nasihat dan latihan bagi kakitangan Anis serta memberikan khidmat kaunseling kepada ibu bapa memerlukan.

"Pusat Anis turut menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan saringan, pengesanan awal dan intervensi bagi kanak-kanak istimewa seperti autisme, sindrom Down, Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), Kelewatan Perkembangan Global Kanak-Kanak (GDD) serta masalah pembelajaran, berumur dua hingga enam tahun.

"Pusat Anis turut memberikan latihan dan kursus asas secara berterusan kepada ibu bapa, pendidik dan komuniti serta meningkatkan kerjasama tenaga pakar dan sukarelawan dari bidang psikologi dalam membangunkan proses intervensi yang komprehensif dan inklusif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, Pusat Anis yang dikendalikan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) itu turut menjalin kerjasama dengan Pusat Genius Kurnia Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mendapatkan khidmat kepakaran dan runding cara.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta setahun sejak 2018 bagi merancang dan melaksanakan program pemberdayaan anak istimewa termasuk menubuhkan pusat itu tahun ini.

Katanya, maklumat lanjut mengenai Pusat Anis boleh didapati melalui laman sesawang www.anisselangor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 2:21 PM