DARI kanan, Chong Wei, Pandelela, Azizul dan Fatehah Mustapa melambai kepada penonton.
DARI kanan, Chong Wei, Pandelela, Azizul dan Fatehah Mustapa melambai kepada penonton.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sambutan Hari Kebangsaan ke-59 semalam nyata lebih bermakna dengan penampilan barisan atlet Sukan Olimpik Rio yang diberi penghormatan menyertai perarakan di Dataran Merdeka.

Kehadiran atlet ternama seperti jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, ratu terjun negara Pandelela Rinong serta atlet berbasikal trek Azizulhasni Awang, ternyata memberi daya tarikan utama perarakan semalam.

Sepanjang perarakan itu, bas berbumbung terbuka yang dinaiki Olimpian negara bersama pegawai dan jurulatih, menerima sambutan paling meriah daripada penonton yang menyaksikan mereka di kiri dan kanan jalan.

Bagi Chong Wei yang merangkul pingat perak di Rio sekali gus ketiga sepanjang penyertaannya di Sukan Olimpik, semalam adalah antara detik paling bermakna untuk dirinya apabila menerima penghargaan sebegitu besar.

“Saya sendiri tak sangka berpeluang untuk menyambut hari kemerdekaan di sini. Ini satu pengalaman yang cukup bermakna untuk diri saya.

“Ramai yang hadir memberi sokongan kepada kami. Harap dengan sokongan berterusan ini, kami dapat meraih kejayaan lebih besar pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pandelela turut teruja dapat meraikan kejayaannya meraih pingat perak bersama orang ramai yang hadir ke Dataran Merdeka semalam.

“Paling saya bangga sebagai atlet ialah apabila dapat membawa nama Jalur Gemilang di luar negara. Inilah maksud kemerdekaan untuk saya,” katanya.

Azizulhasni yang menggegar trek dengan memenangi gangsa menerusi acara keirin pula berpendapat pengertian kemerdekaan sememangnya amat mendalam kepada dirinya sendiri.

“Apabila saya berada di luar negara untuk menyertai kejohanan tertentu, saya rasa bangga menjadi rakyat Malaysia yang menjadi contoh kepada negara lain di luar sana.

“Sebab kita dapat hidup bersatu padu meskipun berbilang bangsa dan kaum. Kita bersatu dari dulu hingga sekarang,” katanya.

Rio adalah Olimpik paling cemerlang untuk kontinjen negara sepanjang penyertaan di temasya sukan terbesar dunia itu apabila meraih keseluruhan empat perak serta satu gangsa.

Selain Chong Wei yang meraih perak, badminton turut menyumbang dua lagi pingat perak menerusi gandingan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Gandingan Pandelela-Cheong Jun Hoong pula menyumbang perak menerusi acara 10 meter platform seirama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:44 AM