PANDELELA antara atlet yang sudah melayakkan diri ke Olimpik.
PANDELELA antara atlet yang sudah melayakkan diri ke Olimpik.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Tempoh lima bulan pertama tahun ini pasti cukup mencabar buat atlet negara untuk mengejar tiket beraksi di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro Brazil.

Setakat ini hanya lima atlet sudah melayakkan diri, Pandelela Rinong, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee daripada sukan terjun dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Jumlah ini jauh berbanding 29 atlet pada edisi di London empat tahun lalu dan situasi itu sedikit mengecewakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang berharap lebih ramai atlet akan melepasi had kelayakan sebelum Mei ini.

“Saya agak kecewa dengan jumlah atlet yang layak ke Sukan Olimpik. Tapi saya percaya peluang atlet lain masih ada seperti badminton. Menembak juga masih ada peluang untuk layak apabila bertanding di Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia di New Delhi.

“Pemain golf dan basikal trek juga berpeluang untuk beraksi di Sukan Olimpik. Memang nampak persaingan untuk layak ke Sukan Olimpik semakin sukar jadi kita tunggu sebelum tarikh tutup kelayakan untuk mengetahui jumlah sebenar kontinjen negara,” katanya.

Pada Olimpik 2012 London, Malaysia meraih pingat perak menerusi jaguh badminton perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei dan gangsa menerusi Pandelela dalam acara terjun 10m platform wanita.

Bagi edisi kali ini, Tunku Imran tetap meletakkan Chong Wei sebagai taruhan terbaik negara untuk memenangi emas pertama.

“Saya masih memilih Chong Wei sebagai peluang terbaik kita untuk menang emas. Terjun juga ada peluang tapi dengan dominasi atlet dari China, pasti agak susah.

“Namun acara basikal trek juga kita boleh letakkan harapan seperti keirin. Cuma kita tidak bernasib baik sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 7:39 AM