AZIZULHASNI (dua dari kanan) bersama Shah Firdaus (kiri),  Fadhil (kanan) dan Beasley  pada sidang media di Velodrom Nasional.  FOTO Bernama
AZIZULHASNI (dua dari kanan) bersama Shah Firdaus (kiri), Fadhil (kanan) dan Beasley pada sidang media di Velodrom Nasional. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


"KALAU Malaysia tak ada pilihan dan meletakkan saya sebagai pengganti kepada (Datuk) Lee Chong Wei sebagai tonggak utama untuk bawa pulang pingat emas, sudah tentu saya akan terima tanggungjawab itu."

Demikian pandangan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang yang dilihat lebih berani menyasarkan pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum ini hanya menyasarkan perak untuknya di temasya sukan terbesar dunia itu.

Jelas Azizulhasni atau lebih mesra di sapa Jijoe, sejak daripada awal membabitkan diri dalam dunia berbasikal, pendiriannya tidak pernah berubah iaitu mahu memenangi emas untuk Malaysia.

"Apapun sasaran diletakkan di bahu saya, saya akan jadikannya sebagai satu tanggungjawab. Saya berada dalam industri ini bukan main-main. Saya akan pergi ke sana (Tokyo) selepas terlepas impian di Rio dan untuk itu, saya akan cuba sehabis baik. Jika anda tanya John Beasley (ketua jurulatih), ketika sesi latihan kami beri lebih 100 peratus," katanya pada sidang media hari ini.

Azizulhasni bagaimanapun berkata, tugas untuk memenangi emas seharusnya digalas kesemua atlet yang layak beraksi di Olimpik dan bukan bersandarkan kepada seseorang atlet sahaja.

Sementara itu, Azizulhasni berkata, untuk ketika ini fokus utamanya adalah beraksi di Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman bermula 26 Februari sehingga 1 Mac depan yang juga kempen kelayakan untuk ke Tokyo bersama-sama Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis. "Keutamaan kami adalah untuk cuba sekurang-kurangnya meraih dua slot individu bagi acara keirin dan pecut di Olimpik. Tapi saya juga berharap dapat menaiki podium dan mengulangi sejarah pada 2017," katanya merujuk kejayaannya mencipta sejarah muncul juara dunia pada 2017 di Hong Kong menerusi acara keirin.

Pada edisi Sukan Olimpik 2016 di Rio, Azizulhasni meraih pingat gangsa menerusi acara keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:35 PM