Jins bersama isteri serta dua anaknya dan Najib. FOTO mensive.com
Jins bersama isteri serta dua anaknya dan Najib. FOTO mensive.com
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: “Kami hanya diberitahu berkenaan kunjungan Perdana Menteri pada pagi tadi dan terus membuat persediaan.

"Kira-kira jam 12 tengahari, beliau yang hadir ditemani penasihat komunikasinya, Datuk Sri Farid Ridzuan tiba di rumah kami dan memberikan sumbangan peribadinya serta dari kerajaan buat ayah.

Demikian kata anak seniman Tan Sri Jins Shamsuddin, Putera Hang Jebat mengenai kunjungan mengejut Datuk Seri Najib Razak ke kediaman ayahnya di Hulu Kelang hari ini.

Najib menerusi laman twitter rasminya memuat naik gambarnya berkunjung ke rumah pelakon filem Sarjan Hassan dan Bukit Kepong ini.

Beliau turut menulis keterangan berbunyi Menziarahi Tan Sri Dr Jins Shamsuddin di rumahnya. Tokoh Seni Negara yang amat saya hormati.

Menurut Putera Hang Jebat, Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit bertanya khabar ayahnya, 81, yang kini hanya menghabiskan masa berehat di rumah selepas menghidapi

Alzheimer sejak 2011.

"Perdana Menteri beritahu beliau sudah lama merancang untuk melawat ayah tetapi tertunda kerana kekangan masa.

"Cuma hari ini beliau mengambil inisiatif untuk melawat ayah kerana amat menghormatinya. Sebelum ini mereka pernah bertemu di beberapa majlis," katanya.

Selain Putera Hang Jebat, kehadiran Perdana Menteri turut disambut oleh ibunya Puan Sri Halijah Abdullah dan adiknya Putera Hang Nadim.

"Kami sekeluarga merakamkan penghargaan buat Perdana Menteri kerana masih sudi meluangkan masa melawat ayah meskipun jadual beliau sangat padat.

"Sekurang-kurangnya kunjungan ini dapat memberi semangat buat ayah yang nampak gembira hari ini," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 8:51 PM