HANG Tuah  pada sidang media berhubung kes mahkamah membabitkan anak Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
HANG Tuah pada sidang media berhubung kes mahkamah membabitkan anak Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Anak kedua Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Hang Tuah, 49, menafikan dakwaan adiknya, Putera Hang Jebat yang mengatakan bahawa tuntutan saman yang dibuatnya sebelum ini berunsur dendam.

Tuah berkata, saman yang dibuat atas dakwaan memalsukan dokumen Surat Wakil Kuasa membabitkan sebidang tanah itu adalah untuk memberi keadilan kepada semua pihak.

"Setiap tahun sejak Jebat masih kecil kami berjumpa. Kalau balik kampung, memang akan berjumpa. Netizen cakap, kami nak duitlah, tak pernah datang melawatlah, tiba-tiba muncullah. Walhal, dari kecil lagi saya dah kenal mereka seperti adik dan abang.

"Saman yang kami buat sebelum ini pun bukan bertujuan untuk kami membolot harta atau apa, sebaliknya ingin membawa keadilan.

"Kami menuntut untuk mengembalikan tanah yang sudah dijual, kepada estet arwah ayah dan untuk membahagikan harta-harta arwah mengikut faraid," katanya.

Ditemui di sesi sidang media yang berlangsung di Bukit Jelutong, di sini, hari ini, Tuah meluahkan kekecewaannya apabila tindakan dia dan abangnya, Jefri Jins disalah anggap dan dilihat dari sudut negatif.

"Untuk bahagikan faraid, saya kena kumpul kesemua hartanya dahulu sebelum dibahagikan. Sekarang, kami pula kena tuduh macam-macam sedangkan kami nak berikan secara adil," katanya.

Tuah juga menjelaskan bahawa dia juga menuntut hak itu untuk menegakkan keadilan buat Jefri yang kini menetap di Singapura.

"Kalau nak diikutkan, saya tak dapat apa pun tak mengapa. Tapi, saya kasihankan abang saya, Jefri yang tak dapat apa-apa langsung sedangkan dia pun anak arwah," katanya.

Tidak mempertikai keputusan mahkamah, Tuah sekadar ingin membersihkan nama dan imejnya yang kini sudah tercalar.

"Menang atau kalah, itu semua kuasa Tuhan. Kami bukan nak mempertikai keputusan mahkamah. Cumanya, bila saya tak jawab, imej kami tercalar sampai bila-bila. Saya terpaksa jawab sebab dia pun bising begitu (di media).

"Kami kini sedang mempertimbangkan untuk memfailkan rayuan bagi menyiasat mengenai status Surat Wakil Kuasa yang mana, tidak sah," katanya.

Terdahulu, Jebat, 36, mengeluarkan kenyataan di media berhubung kemenangannya di mahkamah dalam kes dakwaan memalsukan dokumen Surat Wakil Kuasa membabitkan sebidang tanah seluas 0.265 hektar di Kampung Pasir, Gombak, yang dibuat tiga tahun lalu.

Dalam kenyataan itu, Jebat menyatakan bahawa abangnya menyimpan dendam selepas dia menegur tindakannya tidak menziarahi arwah ketika masih hidup.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan Surat Wakil Kuasa itu sah, seterusnya menolak tuntutan dibuat oleh Jefri dan Tuah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 9:29 PM